Ahad, 19 April 2020 | 10:01am
Usahawan PKS perlu menaik taraf sistem operasi menerusi digitalisasi sejajar era Revolusi Industri 4.0. - Foto hiasan
Usahawan PKS perlu menaik taraf sistem operasi menerusi digitalisasi sejajar era Revolusi Industri 4.0. - Foto hiasan

PKS kemas kini dokumentasi permudah salur bantuan

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) meliputi beberapa perkara penting. Antaranya, pakej subsidi upah yang keseluruhannya RM7.8 bilion dan geran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) RM2.1 bilion.

Komuniti usahawan di negara ini amat berterima kasih dan lega terhadap pengumuman itu. Subsidi upah amat membantu aliran tunai usahawan PKS.

Jika dilihat dari segi sosial sebenarnya ditujukan kepada pekerja digaji PKS secara keseluruhan lebih kurang 6 juta rakyat.

Ini bertepatan cadangan dibawa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) supaya bantuan kepada rakyat dilakukan melalui usahawan, terutama PKS yang menyumbang 90 peratus daripada komposisi entiti penggajian dan lebih satu perempat pengeluaran kasar negara.

Walaupun tidak memberi pulangan terus kepada usahawan PKS, subsidi upah membiayai gaji pekerja akan menyelamatkan perniagaan PKS di samping memberi sekurang-kurangnya gaji yang minimum kepada pekerja dan mengelakkan daripada dibuang kerja.

Kajian MIER menganggarkan pada masa setahun akan datang, 2.4 juta pekerja akan diberhentikan disebabkan COVID-19.

Ini kadar amat besar bagi negara yang boleh menyebabkan berlaku huru-hara.

Untuk memahami lebih jelas bagaimana kerajaan dapat memperincikan dana RM7.8 bilion, mari kita kaji statistik pada 2015.

Sebanyak 694,000 PKS mikro menggaji 1.9 juta pekerja, 192,000 PKS kecil (2.4 juta), 20,000 PKS sederhana (1.4 juta) dan 14,000 syarikat besar (3 juta).

Mengikut statistik itu, kita mendapati PKS bersifat mikro dan kecil ialah kumpulan majoriti daripada keseluruhan 920,000 perniagaan, iaitu 97 peratus keseluruhan penerima subsidi upah.

Mereka menerima bantuan subsidi upah sebanyak RM1,200 per kepala bagi setiap pekerja bergaji di bawah RM4,000 yang menjadikan mereka penerima manfaat terbesar kira-kira RM5.1 bilion subsidi secara total. Ini akan memberi kelegaan kira-kira 4.3 juta pekerja.

Jika kita mengambil kira PKS Melayu, ia boleh diperincikan kepada 296,000 PKS mikro menggaji 824,000 pekerja; 53,000 PKS kecil (605,000) dan 5,000 PKS sederhana (319,000).

Ini menunjukkan PKS Melayu menggaji hampir 2 juta pekerja dalam kalangan Melayu juga.

Mengikut pemerhatian DPMM, kebanyakan usahawan PKS Melayu amat lemah dari segi dokumentasi, sama ada pengurusan atau perakaunan.

Perkara ini amat penting bagi mereka untuk menyatakan kepada pihak berkenaan, termasuk bank bagi mendapatkan bantuan diperuntukkan kerajaan.

Jika mereka tidak mempunyai dokumen berkaitan yang lengkap, permohonan akan ditolak. Ini menyebabkan perniagaan mereka akan musnah walaupun peruntukan diadakan kerajaan yang sepatutnya mereka nikmati.

Sikap industri perbankan yang masih menggunakan cara lama bagi menganalisis dan menilai permohonan pembiayaan juga menyebabkan usahawan Melayu akan ketinggalan.

Keperluan rekod selama tiga tahun terkebelakang dan unjuran keuntungan pada masa hadapan amat membebankan usahawan, terutama mereka yang mula berniaga tidak sampai tiga tahun.

Dalam keadaan kegawatan COVID-19 dan potensi kemelesetan ekonomi pada masa akan datang, menyebabkan unjuran keuntungan amat rendah dan daya pembiayaan perniagaan disifatkan lemah oleh bank.

Pihak kami menerima banyak aduan beberapa minggu lalu daripada ahli dan usahawan terhadap ketidakprihatinan bank kepada pemohon pembiayaan ini.

Satu pendekatan baharu perlu diambil bank supaya dapat membantu kesinambungan perniagaan usahawan, terutama usahawan Melayu.

Penggunaan CCRIS dan CTOS dalam keadaan gawat sekarang tidak bertepatan dengan hasrat kerajaan menghulurkan bantuan kewangan kepada perniagaan sedia ada dan akan datang.

Peranan persatuan perniagaan amat penting bagi memberi rujukan kredit kepada ahli persatuan dan usahawan.

Ada beberapa langkah yang boleh PKS Melayu lakukan dalam keadaan ini. Pertama, mendapatkan khidmat akauntan profesional daripada firma bertauliah dan diperakui Institut Akauntan Malaysia bagi mengemas kini akaun, dokumen penggajian dan pengurusan lain agar sesuai serta boleh diterima pakai bank.

Perkhidmatan firma akauntan bertauliah ini pada hemat saya sepatutnya dikategorikan dalam servis keperluan yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini disebabkan kebergantungan amat tinggi oleh usahawan PKS terhadap mereka dalam menyiapkan dokumentasi akaun dan pengurusan.

Ia termasuk mendaftarkan perniagaan PKS dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan badan berkaitan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO, SMECorp, MARA dan INSKEN.

Terdapat Persatuan Firma Akauntan Melayu Bertauliah (AMCAF) dan Persatuan Akauntan Percukaian Melayu (MATA) yang sedia membantu mereka.

Kedua, menaik taraf sistem operasi, sama ada perakaunan dan pengurusan melalui digitalisasi seperti dianjurkan kerajaan melalui promosi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Perkara berkenaan amat penting bagi usahawan Melayu supaya mereka termasuk dalam statistik dan data digunakan kerajaan bagi menyalurkan bantuan.

Kita berharap usahawan PKS Melayu mengambil pelajaran dan terus berusaha memajukan diri bagi mencapai peringkat lebih tinggi dalam perniagaan.

Kita juga berharap kerajaan dapat menyiarkan statistik jelas mengenai pembabitan usahawan Melayu secara khususnya dan Melayu pada amnya dalam ekonomi negara.

Ia bertujuan menganalisis dan mengenal pasti kelemahan supaya penambahbaikan serta langkah memajukan usahawan Melayu dan orang Melayu boleh dibuat secara teratur dan sistematik.

Penulis ialah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Berita Harian X