Jumaat, 22 Mei 2020 | 10:00am
TINJAUAN harga barang menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Aidilfitri di Pasar Basah Kipmall mendapati peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan termasuk bagi ayam standard yang dijual RM7.50 sekilogram. NSTP/Mohd Azren Jamaludin
TINJAUAN harga barang menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Aidilfitri di Pasar Basah Kipmall mendapati peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan termasuk bagi ayam standard yang dijual RM7.50 sekilogram. NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Peniaga beretika, pengguna bijak mantapkan urus niaga

INTERAKSI dalam pasaran antara pengeluar dan pengguna mempunyai pengaruh besar terhadap harga sesuatu barangan. Lazimnya, harga barang bergantung kepada permintaan dan bekalan.

Bekalan berlebihan menyebabkan harga barang turun, manakala permintaan tinggi dan bekalan terhad boleh menyebabkan harga melonjak naik. Inilah kuasa pasaran.

Senario yang ideal apabila peniaga dan pengguna bersama-sama beretika dalam urusan jual beli. Namun, idealisme ini memerlukan kerjasama dan kejujuran semua pihak - peniaga beretika, pembekal tidak menyorok barang, tidak wujud kartel harga, petani dan peladang tidak 'memusnahkan' hasil ladang serta ternakan untuk mengurangkan bekalan di pasaran.

Secara tradisinya permintaan terhadap sesuatu barangan akan meningkat ketika musim perayaan. Pada waktu istimewa seperti ini, ahli keluarga berkumpul dan tentu pelbagai hidangan istimewa disediakan lebih daripada kebiasaan.

Majlis rumah terbuka ketika perayaan fenomena biasa dan ini melonjakkan permintaan barangan di pasaran bagi mengadakan majlis berkenaan.

Ketika inilah, harga barangan dipengaruhi permintaan tinggi walaupun bekalan pada tahap sama. Harga akan mencanak naik apabila bekalan terputus. Di sinilah, kerajaan memainkan peranan memastikan harga ditawarkan peniaga tidak melampaui batas disebabkan permintaan meningkat.

Inilah yang berlaku setiap musim perayaan utama di Malaysia. Bagi memastikan harga barang dapat dikawal, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) saban tahun melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Pelaksanaannya membabitkan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Pesta Kaamatan (Sabah), Hari Gawai (Sarawak), Deepavali dan Krismas.

Pelaksanaan SHMMP sempena hari raya tahun ini dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan. Ia dipendekkan kepada 15 hari berbanding 30 hari pada 2019, manakala 11 barangan harga terkawal ditetapkan berbanding 27 pada tahun sebelumnya.

Perubahan ini bersandarkan justifikasi bahawa apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa mulai 4 Mei, sebahagian besar sektor ekonomi dibuka.

Peniaga yang mula beroperasi perlu diberi ruang memulihkan kembali perniagaan mereka. Tujuannya menjaga kepentingan pengguna dan peniaga.

Walaupun bukan semua peniaga tidak jujur menjalankan perniagaan, sebilangan kecil yang tidak beretika sudah cukup untuk mewujudkan senario 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Inilah realitinya.

SHMMP kini memasuki tahun ke-20 pelaksanaan membabitkan 48 barangan diwartakan sebagai item harga terkawal. Ia ditentukan berdasarkan barangan keperluan pengguna yang mendapat permintaan tinggi ketika musim perayaan.

Penetapan harga kawalan dibuat berdasarkan hasil mesyuarat dan perbincangan dengan Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Persatuan Penternak Ayam, serta beberapa pihak yang mempunyai kaitan dalam bekalan barangan keperluan.

Penguat kuasa KPDNHEP sentiasa memantau di segenap penjuru negara dan memeriksa semua premis perniagaan dari kedai runcit di kampung, gerai ikan dan sayur di pasar malam sehingga ke pasar raya besar.

Bermula 2016 hingga 2019, penguat kuasa KPDNHEP menjalankan 430,408 pemeriksaan membabitkan pemborong dan peruncit. Sebanyak 2,419 kes dikesan dengan nilai rampasan RM1,095,779.71 serta bernilai RM330,690.

Bagi tahun ini, SHMMP dilaksanakan 15 hari bermula 20 Mei hingga 3 Jun, merangkumi tiga perayaan utama iaitu Aidilfitri, Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.

Namun, berbeza tahun sebelumnya, tahun ini menyaksikan penyebaran COVID-19 yang memaksa kerajaan mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, bagi membendung penularan virus.

Arahan PKP bukan sahaja mengehadkan pergerakan masyarakat, malah memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dalam negara. Kesannya, harga barang turun mendadak disebabkan lebihan bekalan kerana aktiviti jual beli tidak dapat dirancakkan.

Pengenalan PKPB berkuat kuasa 4 Mei pula membolehkan pembukaan semula aktiviti perniagaan dan ekonomi. Permintaan terhadap barangan tertentu mula menunjukkan peningkatan. Tetapi, rantaian bekalan tidak dapat bertindak balas dengan cepat kesan kekurangan permintaan sepanjang PKP.

Lantas, kenaikan harga dilihat baru-baru ini dan SHMMP dilaksanakan tepat pada masanya bagi mengawalnya. Sebanyak 11 barangan keperluan perayaan utama diwartakan di bawah SHMMP sebagai permulaan tahun ini, berdasarkan potensi tinggi untuk kenaikan harga.

Bagaimanapun, kerajaan mendengar dan prihatin terhadap permintaan rakyat dan sudah meneliti untuk memperluaskan kepada 35 barang kawalan di bawah SHMMP iaitu pertambahan 19 barang baharu kepada 16 yang diwartakan. Ia berkuat kuasa 13 hari bermula 22 Mei hingga 3 Jun.

Pertambahan barang ini atas permintaan pengguna dan item adalah barangan pilihan utama semasa tempoh PKPB.

Diharapkan harga barang dapat dikawal dengan penetapan harga siling di peringkat borong dan runcit, terutama di pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.

Penentuan harga barangan terpilih dibuat mengikut kesesuaian harga semasa. Ia turut mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos operasi.

Sebaik SHMMP diumumkan, 2,300 penguat kuasa KPDNHEP dikerah membuat pemantauan lebih agresif tujuh hari seminggu bagi membendung kenaikan harga. Kerja keras mereka amat saya hargai. Mereka antara petugas barisan hadapan yang tidak didendang.

Saya sendiri turun padang pada hari pertama pelaksanaan bagi memantau dan melihat sendiri kepatuhan peniaga terhadap skim ini. Pada hari sama, pemantauan dan pemeriksaan dilakukan di 2,437 premis dengan satu kes dihasilkan membabitkan kompaun RM2,500.

Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang enggan mematuhi SHMMP dan tindakan tegas akan dikenakan. Bagaimanapun, usaha keras kementerian tidak akan berhasil tanpa bantuan dan sokongan pengguna. Bagaimanakah pengguna boleh membantu?

Pertama, pengguna harus bersedia mengubah tingkah laku dan cara membeli. Sedar atau tidak, sikap pengguna mempengaruhi harga barangan sama ada naik atau turun.

Selain itu, kesediaan atau 'fleksibiliti' pengguna mengubah pilihan barangan keperluan mereka kepada jenama atau pengganti lain, dapat memberikan impak kepada harga sesuatu barangan. Pengguna juga harus bestari dan tahu hak mereka.

Untuk memudahkan pengguna, KPDNHEP mengadaptasi aplikasi mudah alih terkini yang mana informasi mengenai premis menawarkan harga barang berpatutan kini hanya di hujung jari. Aplikasi PriceCatcher diperkenalkan untuk membolehkan pengguna mendapatkan harga terbaik bagi enam kategori barangan popular di sesebuah lokaliti. Banyak faedahnya untuk pengguna.

Masukkan sahaja nama barangan dan dipacu teknologi sistem kedudukan global (GPS), aplikasi akan memberikan senarai harga barangan di beberapa premis berdekatan.

Anda juga boleh mencari harga barangan di tempat lain dengan memasukkan butiran negeri dan daerah. Mudahkan? Cubalah!

Aplikasi ini memaparkan maklumat harga lebih 400 barangan keperluan pengguna yang dikutip lebih daripada 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) KPDNHEP di seluruh negara secara harian, mingguan dan bulanan.

Melaluinya, pengguna dapat menjimatkan masa dan kos untuk membuat perbandingan harga antara premis berlainan di sesuatu kawasan, seterusnya merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan.

Pengguna juga boleh mengemukakan aduan khususnya berkaitan harga barang melalui portal http://eaduan,kpdnhep.gov.my, selain aplikasi telefon pintar Ez Aduan KPDNHEP, emel ke [email protected]; WhatsApp di talian 019-2794317 atau melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-88826088/6245 dan melalui pusat panggilan 1-800-886-800.

Kolaborasi pengguna bestari dan peniaga beretika, di samping penguatkuasaan berterusan akan membantu merealisasikan visi kementerian dalam mewujudkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang berdaya maju, berdaya saing dan mampan yang menjadi teras kelima KPDNHEP untuk 2020.

Selamat Hari Raya, Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

Berita Harian X