Sabtu, 14 Disember 2019 | 11:26am
Kedah mempunyai sejarah penulisan yang sangat hebat yang sudah melahirkan tiga orang Sasterawan Negara; (dari kiri) Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad (1982); Datuk Dr Zurinah Hassan (2015) dan Datuk Abdullah Hussain (1996).

Penulis Kedah cetek cita-cita

BUAT apa nak bangunkan hadiah sastera negeri kalau penulis negeri tidak menyumbang apa-apa pembaharuan kepada tradisi persuratan di negara ini?

Saya bukan hendak menentang seruan Dr Ghazali Din yang menulis kepada Berita Harian 29 November lepas, meminta supaya kerajaan Kedah membangunkan hadiah sastera di negeri jelapang padi itu.

Saya pun orang Kedah, dan kalau boleh ingin lihat penulis Kedah diberi pengiktirafan sewajarnya. Bagaimanapun, setakat itu sahajakah cita-cita dan pandangan dunia sasterawan negeri Kedah hari ini?

Seperti Dr Ghazali Din nyatakan, Kedah mempunyai sejarah penulisan yang sangat hebat yang sudah melahirkan tiga orang Sasterawan Negara; Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad (1982); Datuk Abdullah Hussain (1996) dan Datuk Dr Zurinah Hassan (2015). Tidak kurang hebat juga ialah Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1988, Azizi Haji Abdullah dan Puzi Hadi.

Namun, bagaimana dengan penulis Kedah yang muncul selepas tahun 2000? Bagaimana dengan Zainal Rashid Ahmad, Lutfi Ishak, dan Ridzuan Harun misalnya? Walaupun tidak menetap di Kedah dan bergiat aktif bersama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), mereka secara terus-menerus menerbitkan karya yang membuka lembaran baharu dalam tradisi persuratan di Malaysia.

Artikel Dr Ghazali Din memberi gambaran seolah-olah seorang penulis Kedah hanya layak disebut kalau dia tinggal di Kedah dan menulis tentang Kedah. Malah saya jadi terpinga-pinga juga apabila beliau memuji sumbangan ASASI secara berlebihan:

“Pencapaian yang dimiliki Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) sejak zaman awal penubuhannya yang aktif menyusun pelbagai program yang berjaya menyuntik semangat untuk melahirkan pengarang-pengarang pelapis.”

Siapa ya pengarang pelapis ini? Adakah mereka masih menulis cerita tentang perebutan tanah dan sawah di kampung? Adakah mereka masih menulis puisi-puisi seperti Jihaty Abadi dan Jamaludin D?

Sehingga ke hari ini, belum ada novelis negeri Kedah yang boleh mengatasi pencapaian Shahnon. Bukan sahaja dari segi gaya bahasa, juga kebijaksanaan dalam membangunkan naratif sebuah novel. Cerpen sekurang-kurangnya mempunyai Zainal Rashid dengan dongeng kotanya. Sementara Lutfi menawarkan puisi intelektual kerohanian. Ya, mereka adalah penulis pelapis negeri Kedah, namun mereka bukan milik ASASI seperti yang dibanggakan oleh Dr Ghazali Din.

Apabila kita menyebut Shahnon sebagai sasterawan negeri Kedah, satu perkara kita perlu ingat, tulisannya bercakap bukan sahaja untuk orang Kedah, tetapi untuk manusia sejagat. Sesiapa sahaja boleh membaca Ranjau Sepanjang Jalan, walaupun ia mengisahkan sebuah keluarga kampung di Kedah, kerana penderitaan menghadapi kematian ialah pengalaman yang dilalui oleh semua manusia.

Sekarang bukan lagi waktu untuk sastera Kedah, atau mana-mana negeri di Malaysia, merungut tentang ketiadaan sokongan daripada pihak kerajaan. Persoalan lebih penting ialah bagaimana kita hendak menolak ke depan tradisi persuratan di negara ini? Apakah kata-kata baharu yang dicipta oleh penyair di Kedah? Kenapa selepas tahun 2000, belum ada novel negeri Kedah yang sehebat Tunggul-tunggul Gerigis dan Srengenge?

Kita belum ada novel epik tentang Alor Setar, kita belum ada novel tentang pekerja industri di Kulim, kita ada belum novel steampunk berlatarkan kampung di mana semua petani bekerja dan bergerak menggunakan teknologi kuasa wap. Sempadan penceritaan menanti untuk diterokai. Tinggal berani dan tidak berani sahaja.

Kedah, kalau nak dibandingkan dengan negeri lain seperti Melaka dan Pulau Pinang, tidak mempunyai sejarah percetakannya sendiri, tetapi ia tidak pernah menghalang penulis negeri berkenaan daripada menjadi pengkritik sosial yang lantang dan berani.

Lihat sahaja Shahnon, Kassim Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Zainal Rashid, dan Lutfi. Suara mereka sentiasa di depan dalam mana-mana wacana sastera.

Ada waktunya, kita perlu melihat keluar untuk melihat ke dalam. Ada waktunya sastera negeri Kedah perlu melihat kepada sastera dunia untuk mencerminkan kembali rupa dan jati dirinya.

Kalau tidak, “hangpa” bercakap seorang diri dengan bayang-bayang !

Berita Harian X