Selasa, 17 Disember 2019 | 4:12pm
Pengunjung menyaksikan karya pada pameran di Vatican. - Foto Reuters/Guglielmo Mangiapane

Karya 'pontianak' Vatican dipamerkan

VATICAN CITY: Mendapat jolokan cetakan pontianak Vatican, karya yang dihasilkan mahaguru seperti Henri Matisse, Edvard Munch dan Salvador Dali sangat sensitif hingga disimpan dalam simpanan gelap di muziumnya.

Kini, 150 goresan, toreh kayu, karya akuatin, litograf dan seni grafik abad ke-20 lain dipersembahkan pada khalayak - kebanyakannya buat kali pertama - di Dewan Pameran Braccio Carlo Magno, St Peter’s Square.

Dinamakan ‘The Signs of the Sacred - The Imprints of the Real’, pameran itu menampilkan gabungan karya bertemakan kerohanian, interpretasi moden babak dalam Bible, lukisan alam dan karya yang mengimbas kehidupan harian, perang serta ibu.

Pengunjung menyaksikan karya Salvador Dali, Crucifix pada pameran di Vatican. - Foto Reuters/Guglielmo Mangiapane

Kurator pamerannya, Francesca Boschetti, berkata karya itu memang tidak sesuai didedahkan kepada cahaya.

Ketua Jabatan Seni Moden dan Kontemporari Muzium Vatican, Micol Forti, menyifatkannya sebagai kehidupan tersembunyi dan rahsia yang selama ini berada dalam kegelapan kabinet serta peti besi.

Sebahagian seniman yang karyanya dipamerkan seperti Edvard Munch yang terkenal dengan The Scream, hidup secara bohemian dan gaya hidup hedonistik serta tidak pernah diketahui mementingkan agama.

Pengunjung menyaksikan karya Henri Matisse, Virgin and Child on a Background of Flowers and Stars pada pameran di Vatican. - Foto Reuters/Guglielmo Mangiapane

Namun, mereka tertarik dengan tema spiritual seperti karya Munch berjudul Old Man Praying, iaitu toreh kayu pada kertas beras Jepun pada 1902.

“Mereka hidup pada zaman getir atau pergolakan sosial yang hebat seperti semasa atau antara dua perang dunia.

“Malah seniman yang tidak biasa dengan tema keagamaan pun, kembali kepada hal itu sebagai metafora penderitaan dan keganasan,” katanya.

Pameran itu berlangsung hingga akhir Februari depan, manakala karya dipamerkan akan dibawa kembali ke simpanan gelap dengan suhu dan kelembapan dikawal.

Ia termasuk karya Max Ernst, Paul Klee, Oskar Kokoschka dan Marc Chagall yang dijulang sebagai koleksi seni kontemporari penting Muzium Vatican. - Reuters

Berita Harian X