Khamis, 19 Disember 2019 | 6:26pm
Keratan berita pada 14 Disember lalu.

Pengarang perlu berjiwa besar terima kritikan, raikan polemik

SASTERA di mana-mana pun ialah dunia kecil hingga menjadikan kenyataan itu sekiranya diulang-ulang bukan hanya bersifat klise, bahkan tempurung yang boleh menghalang khalayaknya melompat lebih tinggi.

Kita perlu membezakan antara sastera dengan karya kreatif popular; ketika sastera sangat memerlukan kritikan dan polemik seperti pohon berhajat kepada baja serta air, novel popular pula tidak mementingkan penulisan sedemikian.

Kedudukan novelis seperti John Grisham dalam genre thriller perundangan; Dan Brown (thriller keagamaan); James Patterson dan Stieg Larsson (fiksyen jenayah) serta Tom Clancy dan Robert Ludlum (fiksyen perisikan) sama sekali tidak akan terkeliru sebagai sasterawan.

Dibantu dengan mekanisme pemasaran yang berstrategik dan potensi adaptasi ke layar perak, novel genre itu akan kekal dalam ranah yang mewah serta bergaya.

Tidak ada pengkritik yang waras akan mencalonkan novelis sedemikian untuk anugerah seperti Hadiah Nobel Kesusasteraan meskipun sesekali akan ada nama melintas masuk ke penilaian sastera itu.

Bagaimanapun, sastera di mana-mana negara pun akan kekal menjadi ranah kecil tetapi memerlukan perhatian lebih besar daripada penilaian berbentuk material, iaitu kritikan dan polemik serta kajian akademik atau separa-akademik khususnya di universiti.

Namun, tidak ramai menyedari keperluan sastera kepada kritikan dan polemik, sebaliknya berasa sudah cukup dengan pujian dan penyebutan nama.

Tidak keterlaluan sekiranya sastera tanpa kritikan dan polemik, bakal menjadikannya sebagai dunia yang menanti waktu mati.

Bagaimanapun, kritikan dan polemik memang sukar untuk diterima khususnya oleh pengarang dan penyair atau kelompoknya yang menerima lontaran itu.

Sikap itu memang bukan milik khusus pengarang atau penyair sahaja, malah ia juga bukan perwatakan mana-mana generasi atau dipengaruhi faktor geografi.

Sepanjang mengendalikan ruangan sastera di akhbar ini, beberapa tulisan kritikan yang disiarkan ada kalanya sukar diterima pihak yang menjadi sasaran yang merangkumi kelompok veteran hingga generasi muda.

Ada penulis veteran yang dengan cepat menyisipkan ugutan saman dalam balasan e-mel, begitu juga ada penulis muda yang terus melatah dengan menyebut tokoh falsafah besar dunia dalam hantaran di media sosial.

Malah dalam ‘polemik’ di media sosial, antara kenyataan yang akan kerap diulang adalah ‘sastera ialah dunia kecil’, sekali gus membawa implikasi kepada maksud ‘usahlah terlalu mengkritik dengan teruk.’

Kenyataan ‘sastera ialah dunia kecil’ biasanya digunakan sebagai alasan untuk membunuh kritikan atau polemik terhadap pengkaryaan dan perkembangan dalam ranah sastera.

Lebih memburukkan keadaan, apa yang kita katakan ‘polemik’ di media sosial tidak lebih daripada hantaran (posting) atau balasan (reply) yang pendek dan emosional.

Ia tidak akan menjadi baja atau air kepada dunia sastera, sebaliknya ia tidak lebih cebisan biskut atau lampu kelip-kelip yang tidak akan menggantikan keperluan yang dapat menyuburkan kesusasteraan.

Hal itu berlaku lagi dalam polemik terbaru mengenai sastera Kedah seperti dapat dibaca dalam hantaran dan balasan di media sosial dengan dua artikel awal disiarkan di BH sama ada versi cetak mahupun digital.

Gejala sebegini tidak akan menyuburkan sastera dan dalam konteks Kedah, tidak akan mengangkat pengarang negeri itu walaupun membariskan puluhan nama sekalipun.

Malah, ia ibarat menebalkan tempurung yang bukan sahaja memisahkan pengarang sesebuah wilayah dengan ranah yang lebih besar atau mengelakkan penulis daripada melompat lebih tinggi.

Ini kerana apa yang diperlukan demi kemajuan sastera ialah kritikan dan polemik yang sihat untuk menilai kepengarangan serta hasil karya dengan lebih kritis dan jujur.

Mari kita sepakat untuk mengakui dunia sastera memang kecil, tetapi keadaan itu tidak boleh menjadikan jiwa pengarang, penyair dan khalayaknya lebih kerdil.

Sebelum kelompok di luar sastera mengiktiraf dan menobatkan sastera, khalayaknya sendiri perlu lebih menunjukkan kepentingan mereka serta karyanya terlebih dahulu.

* Penulis ialah Pengarang Sastera & Agama BH

Berita Harian X