Khamis, 26 Disember 2019 | 1:55pm
NOVEL The Egyptian Spy Who Saved Israel.

Penerbit Mesir dipenjara, edar novel kontroversi Israel

KAHERAH: Pengasas syarikat penerbitan Mesir dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengedar karya terjemahan novel kontroversi Israel.

Novel berjudul The Egyptian Spy Who Saved Israel karya penulis Israel, Uri Bar-Joseph, mencitrakan menantu bekas presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser, iaitu Ashraf Marwan sebagai perisik negara Yahudi itu.

Penerbit, Khaled Lotfi dibicarakan di mahkamah tentera sejak 2018 atas kesalahan menerbit buku itu dalam versi bahasa Arab, dua tahun sebelumnya.

Abang kepada Khalid, Mahmoud berkata, adiknya yang dituduh ‘mendedahkan rahsia ketenteraan itu, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun meskipun merayu terhadap hukuman asal.

“Sudah tiada jalan lain kecuali pengampunan presiden,” katanya kepada AFP.

Ashraf yang pernah menjadi penasihat kepada bekas presiden, Anwar Sadat selepas kematian Gamal pada 1970, meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan di London pada 2007.

Pihak berkuasa Mesir mengadakan majlis pengebumian besar-besaran, manakala Ashraf diangkat sebagai wira.

Filem adaptasi berdasarkan buku itu yang ditayangkan pada 2018, The Angel, mencetuskan kemarahan media Mesir yang mendakwanya sebagai manipulasi sejarah.

Berita Harian X