Isnin, 30 Disember 2019 | 7:59pm
PEMUISI bakal lancarkan antologi puisi dwibahasa di Perth tahun depan.

PEMUISI bakal lancar antologi puisi di Perth

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) akan melancarkan antologi puisi dwibahasa di Perth, Australia sempena program ‘Kembara Perth, Australia’ pada 27 Mei hingga 1 Jun tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Dr Radzuan Ibrahim, berkata antologi berbahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris itu akan memuatkan puisi karya penyair Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

“Pelancaran antologi itu akan menjadi tanda aras kepada kejayaan PEMUISI yang banyak menganjurkan acara sastera walaupun baru lapan bulan ditubuhkan.

“Setakat ini, PEMUISI menganjurkan 24 acara dan menerbitkan empat buku serta tujuh edisi Jurnal Pemuisi,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Radzuan berkata, antara aktiviti dianjurkan ialah tiga siri majlis baca puisi santai atau Puisi @Kedai Kopi, enam siri Perkasa Karya berupa Bengkel Penulisan Puisi, Penciptaan dan Penerbitan Lagu-lagu Puisi dan Puisi Kanak-kanak.

Selain itu, persatuan itu turut mengadakan Mesra Pemuisi @Pangkor, Malam Puisi Merdeka Pemuisi-Pena dan Malam Baca Puisi Ramadan/Penyampaian Zakat Asnaf Pemuisi.

“PEMUISI turut terbabit dalam acara baca puisi anjuran pihak lain atau anjuran bersama antaranya Baca Puisi Dunia KL dan Baca Puisi UMW-Pemuisi,” katanya.

PEMUISI dilancarkan penaungnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman pada 28 April lepas diterajui sasterawan dan pengarang tanah air.

PEMUISI turut dianggotai tiga Sasterawan Negara (SN) yang bertindak sebagai penasihat, iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Berita Harian X