Ahad, 17 Mei 2020 | 1:10pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Lebih 250 sasterawan, seniman desak Israel tamatkan kepungan Gaza

PARIS: Lebih 250 pengarang dan seniman dunia termasuk penyair, Taha Adnan; pengarang Kanada, Naomi Klein; bintang rock, Peter Gabriel; pengarah, Ken Loach dan pelakon, Viggo Mortensen mendesak Israel menghentikan 'kepungan' terhadap Gaza.

COVID-19 akan menghancurkan 'penjara terbuka terbesar di dunia itu', kata seniman terbabit dalam surat dalam talian.

"Malah sebelum wabak dunia COVID-19 mengancam sistem kesihatan di Gaza lagi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah meramalkan sekatan Isreal menyebabkan semenanjung berkenaan tidak dapat dihuni.

"Dengan pandemik itu, Gaza yang dihuni hampir 2 juta penduduk yang kebanyakannya pelarian, berdepan dengan ancaman maut di penjara terbuka terbesar di dunia berkenaan," kata kenyataan itu.

Semenanjung Gaza berada di bawah kepungan Israel sejak 2007 apabila HAMAS mengambil alih enklaf berkenaan.

Israel menggunakan alasan bahawa langkah itu penting untuk memencilkan HAMAS, selain berdalih sekatan terhadap sebahagian barang import di perairan Gaza untuk menyekatnya daripada menggunakan bahan berkenaan untuk meningkatkan keupayaan perjuangan mereka.

HAMAS dan Israel berperang sebanyak tiga kali sejak kumpulan itu mengambil alih Gaza tetapi mencapai persetujuan gencatan senjata pada akhir 2018.

Gaza yang turut bersempadan dengan Mesir turut menghadapi sekatan pergerakan keluar masuk wilayah itu.

"Sebelum krisis berlaku lagi, hospital di Gaza sudah berada di hujung tanduk kerana kekurangan sumber penting yang terhalang ekoran kepungan Isreal.

"Sistem penjagaan kesihatannya tidak dapat mengendalikan kes ribuan kecederaan akibat tembakan hingga menyebabkan terpaksa melakukan pembedahan amputasi.

"Laporan kes pertama COVID-19 di kawasan berkepadatan tinggi Gaza justeru sangat membimbangkan.

"Kami menyokong desakan Amnesty International supaya semua kerajaan dunia melaksanakan sekatan ketenteraan terhadap Israel hingga negara itu menerima sepenuh tanggungjawabnya berdasarkan undang-undang antarabangsa," katanya. - AFP

Berita Harian X