Selasa, 27 Ogos 2019 | 9:54am
Kelihatan papan tanda larangan merokok jelas terpampang pada premis makanan di premis makanan sekitar Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Perokok jangan ambil kesempatan

Larangan merokok di kemudahan restoran dan premis makanan yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Januari lalu nampaknya seperti tidak begitu meninggalkan kesan bagi kebanyakan perokok.

Sepanjang pemerhatian masih ramai kalangan perokok yang berani merokok secara terbuka di tempat makan terutama di kawasan gerai berikutan langkah kerajaan untuk melanjutkan fasa mendidik perokok sehingga 31 Disember tahun ini.

Ketika mula-mula kerajaan mengumumkan untuk menguatkuasa larangan merokok awal tahun ini kita dapat perhatikan ada pematuhan perokok terhadap peraturan itu apabila mereka tidak merokok secara terbuka di dalam premis makanan terutama di warung atau gerai makan.

Namun, saya perhatikan selepas kerajaan melonggarkan penguatkuasaan dengan mengumumkan penguatkuasaan hanya dilakukan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan nampaknya secara beransur-ansur ramai yang mula berani untuk memulakan tabiat lama merokok di tempat makan.

Walaupun pihak Jabatan Kesihatan hanya memberikan peringatan terhadap perokok dan premis yang melanggar undang-undang yang sepatutnya diwartakan awal tahun ini, nampaknya masih ada yang mengambil kesempatan terhadap kelonggaran peraturan berkenaan.

Seharusnya orang ramai terutama perokok mengambil peluang ini untuk mendisiplinkan diri mereka dengan tidak merokok di tempat awam terutama premis makan, sekali gus menghormati pengguna lain terutama wanita dan kanak-kanak.

Alasan bahawa perokok memerlukan masa untuk berubah nampaknya hanyalah alasan semata-mata kerana ada yang mengambil kesempatan untuk meneruskan tabiat mereka tanpa ada usaha untuk berubah.

Seharusnya golongan perokok tidak menggunakan tempoh pendidikan yang diberikan sebagai kesempatan untuk kepentingan diri mereka semata-mata, sebaliknya turut memikirkan kesejahteraan pengguna lain yang mengunjungi premis makan.

Pengunjung antirokok
Kuala Lumpur.

Berita Harian X