Jumaat, 31 Januari 2020 | 9:24am
Dasar baharu lebih relevan dibangun dalam melaksanakan agenda TVET selaras keperluan industri. - Foto hiasan
Dasar baharu lebih relevan dibangun dalam melaksanakan agenda TVET selaras keperluan industri. - Foto hiasan

Pembentukan watak ubah landskap pendidikan TVET

Persatuan Kebajikan Komuniti dan Dialog (ACID) menghargai usaha Kementerian Sumber Manusia memperkasa latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET). Dasar baharu lebih relevan dibangunkan dalam melaksanakan agenda TVET selaras keperluan industri.

Ini digariskan dalam Laporan Kemajuan Kementerian Sumber Manusia untuk mengukuhkan pelbagai sektor di bawah kementerian itu.

Pendidikan TVET tidak pernah diperkasa dengan berkesan sebelum ini dan Kementerian Sumber Manusia patut dipuji kerana usahanya.

Walaupun usaha kementerian itu tepat pada masanya, penting juga untuk memahami bahawa pendidikan TVET dengan sendirinya tidak akan membawa perubahan diperlukan dalam landskap pendidikan negara, jika tidak ada integrasi antara latihan teknikal, konteks sosial dan etika kerja.

Integrasi sedemikian akan memupuk budaya kerja berkesan dan dinamik apabila graduan mula bekerja.

Sebagai pengamal sumber manusia, saya pernah menemuramah graduan muda yang sangat cenderung dalam bidang teknikal, tetapi tidak dapat menyatakan pengetahuan mereka dengan baik, selain tidak dapat mengingat kembali usaha kerja mereka di kolej atau universiti yang menarik komen baik pihak atasan kolej atau guru.

Mereka juga kurang pengetahuan umum mengenai peristiwa semasa di negara ini dan bagaimana mereka dapat menggunakan pengetahuan sedemikian untuk memperbaiki diri dan organisasi disertai.

Apabila saya berada di United Kingdom pada tahun lalu, saya berpeluang bertemu orang muda yang menjadi sebahagian pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya terkejut melihat orang muda berusia antara 24 hingga 27 tahun mengetuai jabatan dalam organisasi korporat masing-masing, selain menjadi sebahagian daripada NGO yang berjuang untuk kepentingan komuniti mereka.

Dalam perbualan dengan mereka, saya dapati kematangan terbentuk daripada ilmu pengetahuan di luar bidang teknikal. Oleh itu, penting pendidikan TVET diintegrasi dengan pembentukan watak, kesedaran sosial dan pembelajaran dinamik psikologi sosial sesebuah organisasi.

Ia harus diikuti pembelajaran reflektif melalui pendedahan pengalaman yang akan menguji sikap pelajar dan pengetahuan organisasi sosial.

Ini untuk memastikan pelajar TVET mempunyai pemahaman lebih luas tentang apa yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya mereka.

Ronald Benjamin, Setiausaha Pertubuhan kebajikan Komuniti dan Dialog

Berita Harian X