Selasa, 11 Februari 2020 | 7:38am

Ujian saringan awal kanser mampu selamatkan nyawa

TARIKH 4 Februari setiap tahun adalah Hari Kanser Sedunia. Kempen ini tertumpu kepada meningkatkan cakna masyarakat terhadap bahaya kanser yang menjadi penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat.

Sejumlah 60 peratus ramalan keparahan (prognosis) kanser di Malaysia dikesan pada tahap lewat kerana kurang kesedaran menjalani ujian saringan awal.

Pencegahan boleh dilakukan melalui pengesanan awal. Ujian saringan kanser satu cara yang mana doktor mengesan jenis kanser tertentu dalam badan apabila seseorang tidak mengalami gejala dan tanda awal kanser.

Tujuan saringan adalah untuk mengenal pasti kanser yang boleh dikesan seawal mungkin, sebelum seseorang mengalami gejala kanser lebih parah.

Pelbagai ujian boleh dilakukan untuk saringan pelbagai jenis kanser. Ia berbeza bergantung kepada jenis kanser dan peringkat umur seseorang. Setiap jenis kanser cenderung menyerang pada peringkat umur berbeza dalam kehidupan seseorang.

Kanser peringkat awal kebiasaannya bersaiz kecil dan boleh diubati serta dirawat dengan mudah. Justeru, ujian saringan awal dilaksanakan di fasiliti kesihatan awam dan swasta seluruh negara penting bagi pengesanan awal jenis kanser tertentu.

Kadang kala, pemeriksaan mendapati sel belum menunjukkan sebarang kanser, namun boleh bertukar menjadi sel kanser kemudiannya. Peranan doktor adalah merawat pesakit prakanser sebelum berisiko menghidap kanser lebih serius.

Bukan semua pesakit diperiksa untuk jenis kanser yang sama dan bukan semua pesakit juga dilakukan pemeriksaan pada usia sama. Contohnya, mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser tertentu mungkin memulakan pemeriksaan pada usia lebih muda berbanding mereka tanpa sejarah keluarga.

Kumpulan ini mungkin menjalani ujian pemeriksaan secara berkala pada masa berlainan.

Adakah keputusan ujian saringan tidak normal bermakna seseorang mempunyai kanser? Tidak semestinya. Hasil ujian saringan kanser tidak normal bermakna seseorang mungkin menghidap kanser.

Ia tidak bermakna seseorang pasti mempunyai kanser. Jika keputusan tidak normal, staf kesihatan mungkin perlu melakukan ujian lain yang lebih spesifik bagi memastikan sama ada individu itu benar-benar menghidap kanser atau tidak.

Jangan lepaskan peluang menjalani ujian saringan awal kanser di institusi kesihatan seperti Institut Kanser Negara dan klinik kesihatan kerajaan terdekat seluruh negara.

Anggota kesihatan bertugas akan memaklumkan tarikh untuk temu janji ujian saringan berkenaan. Menjalani gaya hidup sihat dan ujian saringan awal adalah langkah pencegahan terbaik yang mampu menyelamatkan nyawa.

Mohamad Azim Sholehin Abdul Shukor, Pelajar perubatan Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X