Khamis, 19 March 2020 | 11:44pm

Henti dulu berpolitik, bersatu bantu kerajaan perangi virus maut

Melakukan sesuatu yang baharu sememangnya bukan mudah, tidak seperti perkara rutin di mana kita boleh saja belajar daripada pengalaman lalu untuk mengelak daripada membuat kesalahan.

Memulakan sesuatu yang baharu memang akan banyak berdepan cabaran, kesalahan-kesalahan boleh berlaku dan jika ada kesilapan, amat mudah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.

Sama juga dengan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Ia sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, inilah kali pertama perintah seumpama itu dikuatkuasakan dan pasti akan ada isu, kesilapan serta salah faham.

Namun, negara-negara lain termasuk yang sudah maju seperti Amerika Syarikat (AS) yang melaksanakan perintah sedemikian juga berdepan isu sama.

Tidak dapat dinafikan apa juga inisiatif berskala besar, berisiko berdepan masalah, halangan dan isu-isu tertentu, seperti juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lalu.

Ayuh kita imbau kejadian taufan Katrina yang melanda New Orleans dan kawasan sekitarnya pada 2005. Walaupun Kerajaan AS mempunyai banyak pengalaman dalam menghadapi bencana alam, taufan Katrina dan kesan dibawanya tidak sama dengan bencana lain yang melanda negara itu sebelumnya.

Bekas Presiden AS, George W Bush, menerima begitu banyak kritikan mengenai cara kerajaan mengendalikan bencana terbabit dan kesan-kesan yang ditinggalkannya.

Dalam kes COVID-19, pemimpin negara lain juga tidak terlepas daripada kritikan mengenai cara mengendalikan wabak berkenaan. Sememangnya, dunia tidak pernah melihat pandemik seperti COVID-19 dalam sejarah moden.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison terkejut dengan pembelian panik dilakukan rakyatnya di bandar-bandar besar yang disifatkannya sebagai ‘un-Australian”.

Di seluruh dunia, pemimpin-pemimpin jenuh memikir dan melaksanakan apa sahaja cara dan kaedah yang dianggap terbaik untuk membendung penularan virus berkenaan.

Sesetengahnya mencapai kejayaan, namun lebih ramai yang berdepan masalah seperti pelaksanaan perintah kawalan atau sekatan pergerakan atau dipanggil ‘lockdown’.

Bayangkan usaha mengawal pergerakan puluhan atau ratusan juta penduduk dan pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengelak dan mengawal sikap panik dalam kalangan rakyat serta menangani kesan dibawa COVID-19 terhadap ekonomi negara.

Kita tidak pernah diuji dengan wabak berbahaya seperti COVID-19, jadi berilah peluang kepada kerajaan untuk melakukan yang terbaik.

Memang ada kelemahan di sana sini, tetapi isu yang sama juga dihadapi kerajaan-kerajaan lain di seluruh dunia, termasuk di negara maju.

Tunjukkanlah sedikit rasa empati berbanding sikap pembuli sebagai pahlawan papan kekunci kerana sekarang bukan masanya untuk mengkritik atau melemparkan kata-kata merendahkan usaha kerajaan kita, biar bagaimana cara pun pentadbiran kerajaan sekarang dibentuk.

Hentikan berpolitik buat sementara, tunggulah sehingga penularan COVID-19 berjaya dihentikan di negara kita kerana usaha menyelamatkan nyawa dan menghentikan penularan virus berbahaya tidak boleh ditunggu.

Sekarang masanya untuk kita, semua rakyat Malaysia bersatu dan memainkan peranan menyokong kerajaan, dalam apa juga cara yang boleh, walau sekecil mana pun bagi memerangi penularan wabak berbahaya yang tidak dijangka ini.

Ayob Osman, Kuala Lumpur

Berita Harian X