Selasa, 5 Mei 2020 | 6:17am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

'Jeneral' berpengalaman tenang tangani jangkitan

DALAM menghadapi krisis COVID-19, rakyat Malaysia pastinya antara beruntung berbanding warga negara lain.

Kita beruntung kerana 'perang' melawan musuh tidak kelihatan ini dihadapi dengan tenang tanpa panik keterlaluan. Namun, faktor paling penting kerana kita diketuai 'jeneral' berpengalaman.

Beruntung Malaysia kerana pemimpin kita tahu apa perlu dilakukan ketika sesetengah pemimpin negara maju, kuasa besar dunia masih terkial-kial menguruskan krisis pandemik ini.

Ada pemimpin dunia mencadangkan pelbagai kaedah rawatan dan perubatan COVID-19 yang tidak masuk akal seperti menyuntik pembasmi kuman dalam produk pembersihan ke dalam tubuh pesakit.

Ada juga saranan menggunakan kaedah rawatan memantulkan cahaya ke badan bagi menghapuskan jangkitan COVID-19, namun semua cadangan itu mendapat kritikan dan bantahan.

Di negara maju, ada 'jeneral' yang rebah diserang virus sehingga terpaksa diberikan rawatan rapi selama beberapa hari.

Dari United Kingdom, Itali, Sepanyol dan Perancis sehingga seberang Lautan Atlantik ke Amerika Syarikat (AS), pemimpinnya berdepan kesulitan dalam memerangi COVID-19 kerana mengambil mudah ancamannya.

Semuanya negara maju dengan kemudahan penjagaan kesihatan terkini, namun kes jangkitan COVID-19 di negara masing-masing mencecah jutaan dan kematian pula sudah puluhan ribu orang.

Di AS, setakat artikel ini ditulis, jumlah mereka yang positif COVID-19 sudah hampir sejuta dan kematian lebih 50,000. Itali pula merekodkan hampir 200,000 kes dan lebih 25,000 kematian.

Bagi Malaysia, semua harus bersyukur kerana krisis COVID-19 di negara kita sudah masuk bulan kedua, masih dalam keadaan terkawal.

Di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'jeneral', perang menentang virus berbahaya ini semakin hampir dimenangi dengan adanya panglima berdedikasi serta anggota barisan hadapan yang tidak kenal erti penat berjuang saban hari.

Perdana Menteri layak dipuji kerana kewibawaan beliau memimpin negara mengharungi krisis berganda, krisis kesihatan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini serta kemelut ekonomi yang menjejaskan banyak sektor serta periuk nasi rakyat.

Mungkin pemimpin lain tidak dapat menyembunyikan rasa tertekan, namun Muhyiddin mempamerkan daya kepemimpinan luar biasa, tenang dan menenangkan rakyat.

Kemunculannya sama ada di platform media sosial seperti Facebook (FB) atau kaca televisyen untuk menyampaikan pesanan serta amanat, menjadi sesuatu yang amat dinanti.

Penampilan Perdana Menteri ketika krisis COVID-19 begitu kuat auranya. Pesanan, nasihat dan amanat disampaikan dalam cara penuh santai sambil diselitkan pengisian yang begitu dekat di hati rakyat.

Siapa sangka boleh diselitkan karakter Makcik Kiah dalam ucapan pemimpin tertinggi kita ketika mengumumkan bantuan untuk rakyat dan baru-baru ini pula, disebut mengenai grup Facebook 'Masak Apa Tak Jadi Hari Ini' yang menjentik hati masyarakat.

Dalam keadaan krisis luar biasa, penting untuk mempunyai pemimpin yang memahami rasa risau dan gusar, dapat merasai denyut nadi dan keperluan rakyat.

Pemimpin seperti itu dapat membuatkan rakyat berasa tenang dan selamat, begitulah Perdana Menteri kita.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bukti beliau mendengar rintihan akar umbi dan sepanjang krisis COVID-19, diadakan sidang media setiap hari.

Daripada bilik gerakan di Putrajaya, 'panglima' perangnya memberi penjelasan mengenai perkembangan COVID-19, sekali gus menjawab persoalan serta mengikis apa juga kebimbangan dalam hati rakyat.

Daya kepemimpinan dan strategi Perdana Menteri serta kerajaan pimpinannya sepanjang krisis ini wajar dan berhak mendapat pujian.

Ayuh semua, kita sama membantu 'jeneral, panglima dan bala tentera' kita untuk memenangi peperangan ini.

Andai ada perbezaan politik, ketepikan dahulu buat sementara waktu, berilah sokongan kepada pemimpin dalam menghapuskan musuh tidak kelihatan yang berbahaya ini.

Halim Yahya Rahman,
Kota Samarahan, Sarawak

Berita Harian X