X
Isnin, 18 Mei 2020 | 12:38pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor melafaz sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Alor Setar pada 17 Mei lalu. - Foto BERNAMA
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor melafaz sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Alor Setar pada 17 Mei lalu. - Foto BERNAMA

Pertukaran kerajaan di Kedah bukan perkara luar biasa

Hakikat bahawa Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa mengosongkan kerusi Menteri Besar Kedah buat kali kedua dengan skrip yang sama pasti tersimpan dalam lipatan sejarah.

Ada pihak melihat apa yang berlaku di negeri Jelapang Padi sebagai pencabulan demokrasi walaupun pertukaran kerajaan dengan cara demikian bukan kejadian yang pertama, juga bukan sesuatu yang luar biasa di Malaysia dan juga negara lain di dunia.

Saya berpendapat bahawa cara Mukhriz meninggalkan Wisma Darul Aman tidak sampai separuh penggal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kedah, tidak seharusnya diterjemah sebagai pencabulan konvensyen demokrasi.

Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Kedah meninggalkan parti mereka membuka pintu bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu, namun punca kedua-duanya mengambil keputusan itu adalah kerana tidak dapat lagi bertahan dengan masalah dalaman parti.

Hakikatnya, tindakan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai parti lain bukan hak milik eksklusif politik Malaysia kerana ia berlaku di mana-mana sahaja negara, termasuk dalam amalan politik matang.

Adakalanya ia menyebabkan perubahan kerajaan, adakalanya tidak. Adakala kemenangan berpihak kepada pembangkang, adakala ia semakin memperkukuhkan kedudukan kerajaan.

Kita imbau kejadian pada 1994 apabila tindakan lompat parti mengakibatkan kerajaan negeri Sabah ketika itu yang dibentuk oleh parti pembangkang diterajui Parti Bersatu Sabah (PBS) melalui mandat rakyat tumbang dan diambil alih oleh Barisan Nasional (BN), hanya dengan segaris tanda tangan.

Ketika itu, siapa arkitek yang menggerakkan langkah berkenaan? Pastinya mereka yang punya kuasa dan ada pelbagai kelebihan membuat tawaran bagi menarik sokongan pemimpin parti lawan.

Ia berlaku ketika negara kita diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pemimpin tertinggi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Insiden lompat parti di Sabah berulang lagi selepas pilihan raya umum ke-14 dua tahun lalu apabila sekumpulan ADUN BN keluar parti dan mengukuhkan kedudukan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama PH untuk membentuk kerajaan negeri.

Kini episod sama berulang di Kedah, tetapi ada pemimpin pembangkang yang terlupa apa yang berlaku di Sabah, kira-kira 30 tahun yang lalu.

Kenapa kini dipersoalkan tindakan keluar atau lompat parti yang mengakibatkan kerajaan negeri Kedah dibentuk PH ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih menjadi sekutu, hilang majoriti?

Adakah ia kerana faktor Mukhriz adalah anak Dr Mahathir, apatah lagi beliau bakal mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam PPBM bagi jawatan Presiden?

Bukan Sabah sahaja bukti lompat atau keluar parti boleh menyebabkan pertukaran kerajaan negeri kerana ada episod sama berlaku lebih awal lagi.

Pada 1977, Kelantan berdepan krisis perlembagaan apabila Menteri Besar daripada PAS, Datuk Mohamed Nasir mahu disingkirkan oleh kumpulan ADUN dalam partinya sendiri.

Krisis kepemimpinan di Kelantan begitu hebat sehingga negeri itu diletakkan dalam keadaan darurat.

Bagaimana pula dengan krisis politik di Perak yang baru satu dekad berlalu. Tindakan dua ADUN Pakatan Rakyat keluar parti pada 2009 menyaksikan kerajaan negeri diterajui Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS sebagai Menteri Besarnya, gagal bertahan.

Roda berputar dan kini peluang terhidang untuk PAS pula menguasai satu negeri di utara, peluang untuk 'membalas dendam politik' walaupun negerinya berbeza.

Ada juga pertukaran kerajaan yang sekadar ura-ura atau hanya mainan mulut, pastinya yang paling diingat adalah ungkapan '16 September' seperti dijanjikan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat sekarang.

Pada 2008, ketika masih segar dengan kejayaan menidakkan majoriti dua pertiga BN pada pilihan raya umum ke-12, Anwar menjanjikan pembentukan kerajaan baharu pada tarikh bersamaan sambutan Hari Malaysia.

Tanpa rasa tindakannya ketika itu mencabul konvensyen demokrasi, Presiden PKR yakin Pakatan Rakyat hanya menunggu masa untuk mengambil alih Putrajaya dengan sokongan 31 Ahli Parlimen BN.

Kata-kata popular Anwar ketika itu adalah "we have the numbers", namun sampai ke sudah tiada apa pun berlaku. Apa yang diucapkan Anwar tinggal sekadar kata-kata, begitu juga dengan impiannya memegang tampuk kuasa di Putrajaya.

Bagi pimpinan politik, usah bersikap hipokrit apabila membicarakan isu wakil rakyat keluar parti untuk menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai parti lain termasuk yang menjadi penyebab sesuatu kerajaan, sama ada negeri atau Persekutuan tumbang.

Ia adalah antara 'permainan' politik dan saya percaya rata-rata pemimpin politik akan bermain permainan yang sama andai manfaatnya adalah untuk mereka.

Salahuddin Mohd Sabri

Kubang Krian, Kelantan

Berita Harian X