Rabu, 2 Januari 2019 | 7:16am
PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto AFP

Pochettino minta Spurs lebih konsisten

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino berkata, pemainnya perlu konsisten jika mahu menang gelaran Liga Perdana selepas mengatasi Cardiff City, awal pagi tadi.

Jaringan Harry Kane, Christian Eriksen dan bintang Korea, Son Heung-min dalam tempoh setengah jam pertama menyaksikan Spurs menewaskan kelab Wales itu 3-0, mengatasi Manchester City di kedudukan kedua dan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool.

City akan menanti kehadiran Liverpool awal pagi Jumaat ini namun Pochettino lebih berminat untuk fokus apa yang boleh dilakukan pasukannya bagi memberikan kelab London itu gelaran pertama sejak 1961.

“Saya tidak mahu melihat kedudukan. Sudah tentu kami berkedudukan baik,” katanya kepada Sky Sports.

“Kami perlu konsisten. Kamu mesti konsisten pada keseluruhan musim.”

Pochettino yang menjadi pilihan ramai untuk menjawat jawatan pengurus di Manchester United berkata, secara keseluruhan persembahan pasukan itu menggembirakannya selepas kekalahan 3-1 Sabtu lalu di laman sendiri kepada Wolverhampton Wanderers.

“Saya sangat gembira, satu perkata saya mahu katakan ialah kami menderita tanpa rehat antara perlawanan dan selepas apa ditunjukkan pemain ia sesuatu yang menakjubkan,” kata pengendali berusia 46 tahun dari Argentina itu.

“Mereka layak menerima pujian. Ia tempoh yang sukar buat kami.”

Pochettino yang mendapat banyak pujian kerana membangunkan pemain muda masih belum meraih sebarang trofi dalam sejarah pengurusannya, berkata dia akan berupaya mencari pengganti apabila Son meninggalkan pasukan untuk tugasan Piala Asia.

“Itulah bola sepak, kami tahu apa akan berlaku,” kata Pochettino. - AFP

Berita Harian X