Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:59pm
PENGURUS pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang. - Foto Owee Ah Chun

Pahang kembali dapat khidmat 4 tonggak

KUANTAN: Segala-galanya tampak positif buat pasukan Pahang bimbingan Dollah Salleh dalam membuat persiapan bagi menghadapi aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia berdepan Kedah di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Ini kerana empat tonggak pasukan - Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad, Faisal Halim dan Zuhair Aizat Mohd Nazri yang dihimpit masalah kecederaan sehingga tersisih ketika skuad Tok Gajah terikat 3-3 di Darul Aman, Sabtu lalu dijangka kembali.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang ketika mengesahkan perkembangan itu berkata, kehadiran semula empat pemain berkenaan dijangka mampu memperkuatkan lagi pasukan bagi memburu tempat ke final.

"Sudah pasti khidmat mereka ditagih untuk mendapatkan keputusan terbaik iaitu membawa Pahang ke pentas final piala berprestij itu. Namun, segala-galanya terpulang kepada percaturan jurulatih, Dollah Salleh untuk menyenaraikan mereka atau sebaliknya selepas mengikat Kedah 3-3.

"Jika dilihat kepada persembahan, saya, berpuas hati dengan komitmen yang diberikan semua pemain hingga hampir mengecewakan skuad Helang Merah," katanya di sini, hari ini.

Mohammed Suffian berkata, kejayaan mengikat Kedah di Alor Setar kelmarin, membuktikan skuad Tok gajah mampu mencatat keputusan lebih bagus di laman sendiri.

Katanya, kelebihan yang ada seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin sambil dibantu kehadiran ribuan penyokong Pahang nanti.

"Kami sememangnya mengharapkan sokongan padu pemain ke-12 iaitu penyokong untuk memberi sumber inspirasi meningkatkan semangat kepada pemain Pahang. Dengan persembahan menyakinkan seperti yang dipersembahkan pada separuh akhir pertama lalu, diharapkan jentera pertahanan lebih kebal," katanya.

Berita Harian X