Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:14am
MOHAMED Salah.

Salah sudah sembuh - Klopp

GENK, Belgium: Sayap Liverpool, Mohamed Salah sudah pulih dari kecederaan buku lali dan kembali menyertai pasukan untuk berdepan Genk dalam aksi peringkat Kumpulan Liga Juara-Juara awal pagi esok. 

Pengurusnya, Juergen Klopp berkata, Salah mungkin disenaraikan lewat babak kedua kerana bimbang kecederaan berulang.

Salah direhatkan sejak cedera ketika membantu The Reds menang 2-1 ke atas Leicester City awal bulan ini dan terlepas peluang ketika aksi menentang Manchester United yang berkesudahan seri 1-1.

"Dia sudah beransur pulih,” kata Klopp kepada wartawan ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru bintang Mesir itu.

"Semalam keadaannya tidak pasti, hari ini dia kelihatan cergas tapi kami tidak mahu mengambil risiko. Kami akan tunggu hinga malam nanti.”

Begitupun, Liverpool pasti terlepas khidmat pertahanan tengah, Joel Matip (lutut) dan Trent Alexander-Arnold (selesema) dengan Dejan Lovren dan Joe Gomez dijangka mengambil alih peranan mereka.


Soccer Football - Champions League - Liverpool Press Conference - Luminus Arena, Genk, Belgium - October 22, 2019 Liverpool manager Juergen Klopp during the press conference Action Images via Reuters/Paul Childs

"Kami jangkakan kecederaan (Matip) memang akan ambil masa dua minggu sebelum bertembung dengan Man United," tambah Klopp.

"Ia tidak begitu serius tapi ia begitu serius buatnya untuk perlawanan pagi esok.”

Juara bertahan itu kini berbekal tiga mata selepas dua perlawanan dan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Kumpulan E, Napoli manakala Genk kekal tercorot dengan satu mata.

"Kami tidak akan benarkan Genk menambah mata tapi mereka beraksi di laman sendiri dan mereka boleh membuat kejutan. Mereka pasukan yang bagus dan kami perlu berhati-hati,” kata Klopp.

"Mereka begitu tersusun dan berani. Mereka amat pantas dan memiliki pemain bahagian tengah dan pertahanan yang aktif.”

Selepas tujuh pemain Liverpool tersenarai untuk Anugerah Ballon d'Or, Klopp mengakui pemain mereka ‘berhak’ dicalonkan dan berharap semua mereka kekal lagi dalam pasukan pada musim akan datang.

"Secara keseluruhannya, saya bangga dengan mereka, bukan kerana tujuh daripada mereka tersenarai. Saya gemarkan cara mereka bermain dan saya gembira setiap kali melihat mereka menang,” kata Klopp.

"Jika ada tanda pasukan memerlukan pemain baru, itu saya tidak tahu, tapi kami mahu terus bekerja sama untuk beberapa musim akan datang, tengoklah apa yang akan berlaku.” – Reuters

Berita Harian X