Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:20am
PEMAIN PSG, Kylian Mbappe (kiri) beraksi dalam perlawanan menentang Brugge pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Jan Breydel, pagi tadi. - Foto AFP

Hatrik Mbappe julang PSG

BRUGES, Belgium: Kylian Mbappe yang dimasukkan sebagai pemain gantian meledak hatrik sekali gus mencerahkan peluang Paris Saint-Germain (PSG) layak ke Liga Juara-Juara selepas meleburkan rekod kebal Club Brugge dengan kemenangan 5-0, pagi tadi.

Bintang Piala Dunia Perancis sebelum ini terlepas banyak aksi angkara kecederaan paha namun meledak hatrik dalam tempoh 20 minit selepas dimasukkan membantu PSG mendahului Kumpulan A dengan kelebihan lima mata di depan Real Madrid, yang menewaskan Galatasaray 1-0, di Turki.

"Saya memang mahu disenaraikan, tapi jurulatih ada pilihan dan saya terima keputusannya. Saya juga mahu membuktikan pasukan bergelut tanpa saya,” katanya kepada media.

"Saya bekerja keras untuk mendapat tempat. Sudah dua bulan saya tersisih. Saya rasa lega dapat kembali. Saya sudah 100 peratus cergas,” katanya.

Mauro Icardi menyumbat dua lagi gol hasil bantuan rakan senegara Argentina, Angel Di Maria.

Namun buat kali ketiga, pengendali PSG, Thomas Tuchel tidak dapat menggandingkan trio serangan yang lazimnya dianggotai Neymar, Mbappe dan Edinson Cavani yang masih cedera.


PEMAIN PSG, Kylian Mbappe meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Brugge pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Jan Breydel, pagi tadi. - Foto Reuters

Dalam pada itu, jurulatih Brugge, Philippe Clement, juga kehilangan khidmat kaptennya, Ruud Vormer yang digantung akibat kad merah ketika berdepan Real.

Pasukan pelawat mendahului apabila Di Maria melakukan hantaran jauh untuk disambar Icardi sebelum menewaskan Simon Mignolet seawal minit ketujuh.

Pemain muka baru tuan rumah, Charles De Ketelaere terlepas peluang menyamakan kedudukan selepas gugup berdepan Keylor Navas.

Icardi turut terlepas peluang menggandakan jaringan apabila cubaannya dinafikan Mignolet.

Mbappe yang dimasukkan seminit kemudian bingkas menukar corak pemainan dengan gerakan pantas menembusi benteng tuan rumah.

Calon penerima Anugerah Ballon d'Or itu merakam hatrik dalam tempoh 20 minit dengan menyambar hantaran lintang Di Maria.

Bekas sayap Monaco itu sekali lagi membantu Icardi meledak gol seminit kemudian.

Jaringan kedua dan ketiga Mbappe terhasil selepas bantuan Di Maria.

Kedua-dua kelab itu akan bertembung sekali lagi di Paris pada 6 November depan dan dijangka sekali lagi tanpa Neymar yang cedera ketika aksi persahabatan menentang Nigeria di Singapura, baru-baru ini. – AFP

Berita Harian X