Rabu, 23 Oktober 2019 | 4:31pm
PENGENDALI Selangor, B Sathianathan hadir pada sesi latihan bagi persiapan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 menentang JDT, di Kompleks Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Shah Alam.

Sathia impi satu lagi magis di Shah Alam

KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor, B Sathianathan memasang impian melihat satu lagi magis berlaku di Stadium Shah Alam, ketika berhadapan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi kedua separuh akhir saingan Piala Malaysia 2019, pada Sabtu ini.

Selangor tewas 1-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, dalam perlawanan pertama yang berlangsung sengit pada Sabtu lalu, dan Sathianathan optimis barisan anak buahnya memiliki keupayaan untuk mengatasi skuad Harimau Selatan itu di laman sendiri.

Stadium Shah Alam sebelum ini menjadi saksi kebangkitan luar biasa Selangor, apabila menyingkirkan Perak di peringkat suku akhir dengan keputusan agregat 3-2 selepas melakar kemenangan 3-1.

"Saya harap begitulah (kejayaan menewaskan Perak berulang) tetapi saya seorang jurulatih yang realisitik. Saya tahu kalau pemain bersedia dengan baik, kita mampu lakukan kerana ini bola sepak, apa-apa boleh berlaku meskipun menentang pasukan gergasi. Selangor masih ada harapan (mara ke final).

"Kalau saya tidak percaya dengan kemampuan pasukan saya dan kejutan yang boleh berlaku dalam bola sepak, saya akan bungkus segala barang-barang dan tidak akan turun ke stadium Sabtu ini," katanya kepada Bernama.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu turut mencabar barisan tengah pasukannya 'mematikan' langkah gandingan bintang JDT, Hariss Harun dan Leandro Velazquez, selepas kelibat dua pemain import itu menghadkan penguasaan bola Selangor di bahagian tersebut ketika perlawanan di Larkin.

"Harris dan Leandro pemain yang penuh dengan imaginasi dan sangat berpengalaman. Mereka adalah pemain tengah terbaik dalam liga kita dan saya cabar pemain tengah saya untuk lawan mereka di posisi itu," jelasnya.

Dalam pada itu, Sathianathan berkata sokongan padu penyokong Sabtu ini, mampu menjadi pendorong kebangkitan dan mengharapkan Stadium Shah Alam menjadi lautan 'Merah Kuning'.

Selangor adalah pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia, apabila merekodkan kejuaraan sebanyak 33 kali dengan kali terakhir muncul juara adalah pada edisi 2015.

-- BERNAMA

Berita Harian X