Rabu, 23 Oktober 2019 | 5:03pm
Subahan berucap pada majlis perasmian Bengkel Wilayah - Bola Sepak FIFA Untuk Program Sekolah di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

Garis panduan ambil lepasan NFDP bakal diputuskan

PETALING JAYA: Pasukan atau kelab tempatan sudah boleh berkira-kira 'ubi muda' mana yang mahu diambil daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP, Datuk Seri Subahan Kamal berkata jawatankuasa pemandu akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi menentukan garis panduan tertentu.

"Insya-Allah dalam masa terdekat ini, kita akan adakan mesyuarat jawatankuasa pemandu yang akan dipengerusikan oleh menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

"Ia (cadangan garisan panduan) akan dibentangkan untuk dapat persetujuan," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Bengkel Wilayah - Bola Sepak FIFA Untuk Program Sekolah di sini, hari ini.

Seminar yang turut diadakan pada majlis itu membabitkan 30 wakil badan induk, pengarah teknikal dan wakil kerajaan bahagian pendidikan setiap negara Asia Tenggara serta Australia.

Program yang akan dilaksanakan tahun depan itu adalah inisiatif baharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam pembangunan akar umbi.

Tetapi kali ini ia akan membabitkan sekolah yang akan dibekalkan dengan aplikasi khas, lengkap dengan ciri-ciri serta kandungan penting untuk membantu guru menerapkan kemahiran bola sepak, nutrisi pemakanan kepada pelajar.

Berita Harian X