Rabu, 23 Oktober 2019 | 6:34pm
Aksi pemain Kedah, Jonatan Jesus Bauman (tengah) ketika mengawal bola dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Darul Aman. - NSTP/Amran Hamid

Kedah perlu cepat kawal rentak permainan

ALOR SETAR: Bekas legenda bola sepak Kedah era 80-an dan 90-an, Radhi Mat Din yakin Kedah mampu menewaskan Pahang sekiranya dapat menyerap segala tekanan dan mengawal rentak perlawanan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur Sabtu ini. 

Menurut bekas kapten Kedah itu, skuad Lang Merah harus segera mendapatkan rentak permainan pada awal perlawanan kerana Pahang yang beraksi di laman sendiri sudah pasti mempunyai tahap keyakinan tinggi. 

"Dalam perlawanan Sabtu lalu, saya lihat Kedah mengambil masa terlalu lama untuk panas dan mendapatkan rentak awal sehingga kita dapat lihat Pahang selesa mendominasi perlawanan dan meroboh benteng Kedah dengan jaringan 2-0.

"Jadi untuk perlawanan di Kuantan nanti Kedah perlu elak memberi ruang kepada pemain Pahang untuk melancarkan gerakan bahaya dan berisiko untuk mereka mendapatkan gol. Kedua-dua faktor ini perlu diberi perhatian dan diperbaiki.

"Walaupun keputusan ini di luar jangkaan penyokong, namun saya melihat pemain Kedah mempunyai semangat juang tinggi kerana bukan mudah untuk melakukan 'comeback' selepas ketinggalan 0-2 dan kemudian ketinggalan lagi 2-3 sebelum disudahi dengan 3-3. Kebangkitan ini sesuatu yang positif,” katanya. 

Bekas pemain berasal dari Pokok Sena berusia 54 tahun ini berpendapat, peluang Kedah membuat kejutan di Kuantan tetap ada selagi semua pemain turun dengan komitmen tinggi diiringi disiplin sepanjang 90 minit perlawanan. 

"Situasi ini mengingatkan saya ketika Kedah menentang Pahang pada separuh akhir 1987. Kami menang tipis 1-0 di Alor Setar dan berdasarkan keputusan itu, ramai meramalkan Pahang akan ke final kerana mereka akan bermain di gelanggang sendiri. 

“Tapi, akhirnya kami menang dan layak ke perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat dengan agregat 2-2,” katanya.

Berita Harian X