Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:51pm
Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin. - NSTP/Owee Ah Chun

Nilai semula struktur kewangan sebelum beli pemain baharu

KUALA LUMPUR: Semua pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) diingatkan supaya menilai semula struktur kewangan masing-masing sebelum cuba mendapatkan pemain baharu untuk saingan musim depan.

Ia selari dengan pelaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP) sebagai langkah terbaik menangani masalah bebanan hutang khususnya tunggakan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata semua pasukan dan kelab akan diberikan penerangan oleh wakil perunding ECP, PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn Bhd, La Liga dan MFL dalam satu taklimat pada pertengahan November ini.

“Saya berharap semua pasukan bersedia dengan pelaksanaan ECP kerana saya percaya ini adalah antara langkah terbaik dalam menjaga kepentingan semua pasukan dan Liga Malaysia.

“Kita serius dalam membantu pasukan menguruskan kewangan dengan lebih baik supaya masalah hutang yang sebelum ini membelenggu kebanyakan pasukan dapat diatasi bersama.

“Jadi saya mengingatkan kepada semua pasukan supaya meneliti terlebih dahulu struktur kewangan pasukan sebelum menandatangani kontrak dengan pemain dalam perancangan membentuk pasukan bagi musim depan.

“Ini kerana kontrak-kontrak yang ditandatangani hari ini bakal membawa kesan kepada pasukan dalam mematuhi ECP pada tahun akan datang,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan laman sesawang rasminya, hari ini.

Berita Harian X