Sabtu, 9 November 2019 | 12:10am
Mohamed Salah (kanan) dan Sergio Aguero.

Peluang City sekat 'ego' Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

Adakah ini minggu yang ditunggu-tunggu oleh penyokong penyandang juara, Manchester City selepas 11 minggu menahan sabar dan geram melihat persada liga terus dikuasai oleh kelab Liverpool?

Skuad bimbingan Pep Guardiola akan berkunjung ke Anfield tengah malam Isnin waktu Malaysia untuk aksi ke-12 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Tentunya mereka tampil dengan tekad mengutip mata penuh dan meleburkan rekod tanpa kalah The Reds bagi merapati lawannya itu.

Ketika ini Liverpool mendahului The Citizens dengan kelebihan enam mata selepas 11 perlawanan.

Andai menang, Liverpool akan meninggalkan lawannya itu dengan sembilan mata sekali gus akan terus gah dipersada dan kekal jadi pilihan muncul juara.

Andai sebaliknya, City hanya akan ketinggalan tiga mata dan ini membuka kembali peluang mereka mempertahankan kejuaraan.

Jika seri, jumlah kelebihan mata anak buah Jurgen Klopp kekal enam. Ini tentunya bakal menyaksikan saingan sengit sehingga kepada `Boxing Day’ pada 26 Disember dan tahun baharu 2020 - yang selalunya menjadi penanda aras bakal calon juara.

Selepas Manchester United dan Tottenham Hotspur ‘gagal membantu’, nampaknya City terpaksa berjuang sendiri untuk menekan pencabar utamanya itu. Dan Anfield sudah pasti akan `meletop’ kali ini.


Jurgen Klopp (kiri) dan Pep Guardiola.

Jika melihat statistik lalu, dalam 28 pertemuan di Anfield, Liverpool hanya tewas sekali iaitu pada Mei 2003 (1-2). Kali terakhir kedua-duanya berentap aksi EPL di Anfield pada 7 Oktober 2018 dan ia berakhir 0-0.

Liverpool hadir menyambut tamunya itu dengan motivasi menewaskan kelab Belgium, Genk, 2-1 saingan Liga Juara-Juara manakala City tampil dibelenggu empat tonggak cedera dan hanya mampu seri di San Siro bertemu Atalanta, 1-1 saingan sama.

Apakah City mampu mengatasi Liverpool pada aksi ke-12 ini? Bagi penulis, City tiada pilihan. Mereka mesti menang aksi ini andai jika tidak ingin membenarkan Liverpool menamatkan kemarau kejuaraan EPL selama 30 tahun.

Sementara itu, Chelsea yang menduduki tangga keempat liga dijangka tiada masalah mengutip tiga mata apabila menyambut Crystal Palace. Namun Leicester yang berada setakuk di atas bakal berdepan aksi sukar apabila melayan kunjungan Arsenal.

United yang diaibkan Bournemouth 1-0 minggu lalu, sebelum bangkit menewaskan Partizan 3-0 saingan Liga Europa harus mendapat motivasi apabila berdepan Brighton malam ini.

Tottenham Hotspur yang kembali 'bertaring' dengan menewaskan Red Star Belgrade, 4-0 pada aksi Eropah, selepas diikat 1-1oleh Everton, dijangka tiada masalah membenam Sheffield untuk kembali bersaing. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Norwich 1 Watford 1

Chelsea 3 C Palace 1

Burnley 1 West Ham 1

Newcastle 1 Bournemouth 3

Southampton 1 Everton 2

Tottenham 2 Sheffield 0

Leicester 1 Arsenal 1

Wolves 2 Aston Villa 1

Man United 2 Brighton 0

Liverpool 1 Man City 1

Berita Harian X