Rabu, 11 Disember 2019 | 9:37am
Pemain remaja, Ansu Fati meraikan jaringan golnya ketika menentang Inter Milan, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain remaja, Ansu Fati meraikan jaringan golnya ketika menentang Inter Milan, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Jaringan Fati musnahkan harapan Inter

MILAN: Pemain remaja, Ansu Fati muncul pemain termuda menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara dalam perlawanan yang menyaksikan kemenangan Barcelona menewaskan Inter Milan 2-1, awal pagi ini.

Penyerang berumur 17 tahun kelahiran Guinea-Bissau itu menerima hantaran lintang Luis Suarez sebelum mencipta jaringan empat minit sebelum wisel tamat bagi mencipta sejarah sebagai pemain termuda menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara.

Barcelona sudah menempah tiket ke pusingan kalah mati apabila muncul juara Kumpulan F dan tidak menurunkan pemenang enam kali Ballon d'Or, Lionel Messi.

Tetapi pendahulu Serie A, Inter memerlukan kemenangan menentang pendahulu La Liga itu atau sekurang-kurangnya menyamai keputusan Borussia Dortmund di laman sendiri menentang Slavia Prague bagi melepasi pusingan seterusnya.

Namun begitu, pasukan Jerman itu menempah tiket ke pusingan kalah mati dengan kemenangan 2-1 bagi menamatkan saingan tiga mata di hadapan Inter yang berada di kedudukan ketiga dan akan menyertai Liga Europa.

Pemain Inter Milan, Lautaro Martinez (kiri) cuba menghalang pemain Barcelona, Jean-Clair Todibo pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Inter Milan, Lautaro Martinez (kiri) cuba menghalang pemain Barcelona, Jean-Clair Todibo pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

“Menyaksikan ulang tayang jaringan Fati adalah menyakitkan,” kata jurulatih Inter, Antonio Conte.

“Jaringan itu menyekat kemaraan kami dan mematikan kami daripada semua pandangan.”

Carles Perez yang membuat penampilan sulung berjaya meletakkan pasukan Sepanyol itu di hadapan selepas minit ke-23 di San Siro tetapi Romelu Lukaku menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat bagi memastikan peluang buat pasukan itu.

“Terdapat banyak perkara yang baru kerana kami juga menukar sistem kami,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.

“Kami berdepan beberapa masalah pada awalnya kerana mereka memberi tekanan kepada kami, tetapi sedikit demi sedikit kami berjaya menjadi lebih baik.

“Penjaring hari ini juga adalah pemain muda, begitu juga Ansu (Fati) yang memang dilahirkan sebagai penjaring.” – AFP

 

Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku meraikan jaringan golnya ketika menentang Barcelona, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku meraikan jaringan golnya ketika menentang Barcelona, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Berita Harian X