Isnin, 20 Januari 2020 | 9:18pm
Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker (kanan) meraikan jaringan gol penyerang, Mohamed Salah ketika menentang Manchester United, malam tadi. - Foto thesportsrush.com

Alisson tiru gaya Reina

 

LONDON: Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker membangkitkan kenangan lama buat penyokong setia kelab itu apabila dia dilihat meniru gaya Pepe Reina ketika meraikan gol dijaringkan Mohamed Salah pada aksi menentang Manchester United, malam tadi.

Penjaga gol dari Brazil itu berlari dari gawangnya bagi memeluk Salah selepas penyerang Mesir itu menjaringkan gol bagi melengkapkan kemenangan 2-0 The Reds dalam perlawanan di Anfield itu.

Alisson mendedahkan gaya meraikan gol itu diinspirasikan oleh bekas penjaga gol kelab itu, Reina yang berlari laju ke arah David Ngog selepas pemain Perancis itu menjaringkan gol ketika menentang United pada 2009.

Reina beraksi bersama Liverpool sejak 2005 hingga 2014 dan gaya itu kekal menjadi ingatan buat peminat di Anfield.

Penantian skuad bimbingan Jurgen Klopp bagi menamatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selama 30 tahun tampak bakal berakhir selepas kemenangan ke atas United itu.

Ia turut dibantu susulan dua pencabar terdekat mereka gagal meraih tiga mata yang menyaksikan Manchester City sekadar seri 2-2 dengan Crystal Palace manakala Leicester City tewas 1-2 di tangan Burnley. - Agensi

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X