Selasa, 21 Januari 2020 | 11:25pm
Penjaga gol Pasukan Kedah Mohd Ifwat Akmal diasak oleh pemain kelab dari Hong Kong, Wofoo Tai Po, Yuto Nakamura (kanan) pada kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman di sini malam ini.
Kedah mendahului dengan jaringan 2-0 pada separuh masa perlawanan. - Foto BERNAMA

Kedah baham Tai Po FC

Oleh Izzali Ismail

[email protected] 

 

ALOR SETAR: Kedah memulakan langkah positif di pentas Asia apabila menewaskan kelab Hong Kong, Tai Po FC  5-1 pada pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman sebentar tadi. 

Kemenangan itu menyuntik semangat skuad Lang Merah yang beraksi buat kali pertama di hadapan hampir 20,000 penyokong di laman sendiri bagi melihat aksi pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak.

Kedah tidak menunggu lama dengan mencetak gol pertama pada minit ketiga menerusi sentuhan penyudah Kipre Tchetche yang menerima hantaran Kpah Sherman. 

Tchetche menceriakan stadium apabila menambah gol kedua pada minit ke-21 menerusi peluang yang terhidang selepas Rizal Ghazali melakukan hantaran lintang yang ditepis kurang kemas penjaga gol lawan, Ho Yui. 

Sun Ming Him kemudiannya dilayangkan kad merah pada minit ke-33 apabila menarik baju Tchetche.

Seminit selepas bermula babak kedua, giliran Hadin Azman menggamatkan Stadium Darul Aman dengan gol ketiga menerusi rembatan kencang dari bahagian kanan gawang Tai Po hasil kombinasi digerakkan Tchetche dan Sherman. 

Hadin menambah gol keempat Kedah pada minit ke-65 selepas bola gagal dikawal barisan pertahanan lawan. 

Wakil Hong Kong itu yang diibaratkan patah sayap melakukan kejutan dua minit kemudian apabila menjaringkan gol pertama menerusi pemain tengah, Chan Man Fai.

Penghujung perlawanan, Tchetche melengkapkan malam gemilang Kedah dengan gol kelima hasil hantaran silang Baddrol Bakhtiar.

Kemenangan ini melayakkan skuad Lang Merah beraksi di Korea Selatan menentang FC Seoul pada 28 Januari ini. 

Berita Harian X