Rabu, 8 April 2020 | 12:08pm
Logo Piala Dunia Qatar 2020.
Logo Piala Dunia Qatar 2020.

Qatar nafi beri rasuah

DOHA: Qatar menafikan tuduhan memberi rasuah kepada pegawai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi membolehkan negara iu dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Berdasarkan dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang dikeluarkan Isnin lalu, pegawai FIFA didakwa menerima suapan untuk undian memihak kepada Piala Dunia Russia 2018 dan Piala Dunia Qatar 2022.

Bagaimanapun, Kremlin dan Qatar menafikan dakwaan itu.

Kejohanan bola sepak berprestij itu tetap akan diadakan pada November dan Disember 2022 tanpa sebarang perubahan biarpun pandemik COVID-19 memaksa penangguhan Euro dan Sukan Olimpik Tokyo selama setahun.

Tuduhan itu dikaitkan dengan skandal rasuah 2015 membabitkan FIFA yang turut menyaksikan kejatuhan presiden ketika itu, Sepp Blatter.

Pada tahun-tahun berikutnya, kerajaan Amerika Syarikat menuduh 45 individu dan pelbagai syarikat sukan terbabit dalam 90 kes rasuah dengan memberi atau menerima lebih AS$200 juta (RM870 juta).

“Itu adalah sebahagian daripada kes lama, tiada kaitan dengan bidaan tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022.

“Selain tuntutan palsu, bukti sebenar tidak pernah ada untuk menuduh Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia secara kurang beretika atau melanggar peraturan bidaan,” kata Jawatankuasa Tertinggi Qatar dalam kenyataan balas yang diberikan berhubung tuduhan itu. - AFP

Berita Harian X