Rabu, 8 April 2020 | 6:06pm
Kipre tak sabar kembali beraksi.
Kipre tak sabar kembali beraksi.

Kipre teringat zaman perang

ALOR SETAR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19 mengingatkan kembali penyerang import Kedah, Kipre Tchetche mengenai suasana peperangan di negaranya sekitar 2010.

Menurut pemain kelahiran Ivory Coast itu, ketika krisis politik di negaranya, dia dan keluarganya tidak boleh bergerak bebas dan takut untuk keluar rumah selama beberapa bulan kerana risiko keselamatan.

"Sebagai rakyat kami tiada pilihan selain memikirkan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu berbanding melakukan perkara lain yang terpaksa kami tangguhkan.

"Begitulah keadaan keadaan sekarang apabila kita harus sedar kita mempunyai pilihan untuk kekal selamat di rumah berbanding risiko wabak merbahaya yang sedang melanda dunia," katanya.

Pemain licik berusia 32 tahun itu juga berharap PKP yang dilakukan kerajaan Malaysia kini mampu menghasilkan kejayaan bagi melawan wabak pandemik ini secepat mungkin sekali gus mencerahkan peluang Liga Malaysia (Liga M) kembali disambung.

"Saya seperti anda tidak sabar beraksi kembali, namun buat masa ini kita perlu banyak bersabar dan menghargai masa yang lebih sekarang ini untuk memanfaatkan bersama keluarga dan orang tersayang terlebih dahulu.

"Dalam masa sama, saya menetapkan jadual latihan kecergasan saya dua kali sehari bermula di sebelah pagi dan petang.

"Saya berdoa penyokong bola sepak Malaysia kekal sihat dan dijauhi segala ancaman bahaya wabak ini dan semoga kita dapat berjumpa kembali dalam Liga M," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X