Rabu, 8 April 2020 | 9:28pm
Ronaldo (kanan) dan Fernandes ketika beraksi bersama Portugal.
Ronaldo (kanan) dan Fernandes ketika beraksi bersama Portugal.

Ronaldo ejek Fernandes

LONDON: Cristiano Ronaldo secara bergurau menyarankan Bruno Fernandes untuk fokus menjalankan latihan di bahagian lain selepas pemain itu gagal dalam cabaran senaman abdomen.

Bintang Manchester United itu menyertai ‘Piala Ruang Tamu’ yang dianjurkan Nike yang menggalakkan semua orang supaya kekal cergas ketika kuarantin dengan melakukan seberapa banyak mungkin senaman ‘ab crunches’ dalam 45 saat.

Ronaldo memulakan langkah dengan pemain berusia 35 tahun itu berjaya melakukan 142 kali senaman terbabit dalam tempoh 45 saat.

Fernandes kemudiannya menyahut cabaran Ronaldo, namun dia hanya mampu melakukan 117 kali dalam tempoh masa ditetapkan.

Keputusan itu menyaksikan Ronaldo ‘mengejek’ rakan senegaranya itu dengan menyarankan pemain tengah itu supaya lebih banyak melakukan latihan di bahagian lengan.

Ronaldo turut memberikan komen terhadap percubaan pemain lain contohnya pertanyaan ‘adakah kamu pasti?’ kepada rakan sepasukannya, Blaise Matuidi yang memintas catatannya dengan 144 kali.

Pemain lain yang turut mencuba antaranya pemain Borussia Dortmund, Erling Haaland (124 kali), pemain muda Real Madrid, Vinicius Junior (125 kali) dan pemain muda Arsenal, William Saliba (65 kali).

Namun, rekod terbabit dipegang ratu pecut Afrika Selatan, Caster Semenya yang berjaya mencatat 176 kali dalam tempoh 45 saat. -Agensi

Berita Harian X