Khamis, 9 April 2020 | 2:47pm
Kontrak Messi bersama Barcelona tamat 2021.
Kontrak Messi bersama Barcelona tamat 2021.

Inter mampu beli Messi

LONDON: Bekas pemain tengah Inter Milan, Benoit Cauet menegaskan kelab itu berkemampuan menandatangani bintang Barcelona, Lionel Messi.

Messi dikaitkan dengan perpindahan ke Inter sejak bekas presiden, Massimo Moratti berkata bukan sesuatu yang mustahil melihat pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak enam kali itu menyarung jersi kelab Itali berkenaan.

Kontrak Messi bersama Barcelona akan tamat pada 2021 tetapi masa depannya di Nou Camp mula mencetuskan persoalan susulan perselisihan faham dengan ahli lembaga pengarah musim ini.

"Sudah tentu Inter boleh menandatangani Messi, tidak ada keraguan yang mereka boleh lakukannya," kata Cauet yang memenangi Piala Super UEFA bersama Inter pada musim 1997/1998 ketika sesi secara langsung di Instagram miliknya.

"Presiden Inter, Steven Zhang mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan memiliki cita-cita besar. Dia seorang presiden yang berfikiran jauh."

Messi dilabel sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak apabila merekodkan keseluruhan 627 gol dalam 718 perlawanan selain memenangi 10 gelaran La Liga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara.

Sebelum ini, Presiden bola sepak Sepanyol, Javier Tebas percaya saingan La Liga tidak akan terkesan sekiranya Messi meninggalkan Barcelona.

Tebas yakin La Liga tetap mampu bertahan biarpun tanpa kelibat Messi.

Katanya, La Liga kini semakin kukuh selepas perpindahan mengejut Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid ke Juventus dua tahun lalu. - Agensi

Berita Harian X