Khamis, 9 April 2020 | 10:12pm
Barisan pemain FELDA United turut menderma.
Barisan pemain FELDA United turut menderma.

FUFC kumpul RM118,569

KUANTAN: Sebanyak RM118,569 berjaya dikutip Kelab Bolasepak FELDA United (FUFC) dalam usaha meringankan beban petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Agung FUFC, Afizal Abu Othman berkata, jumlah itu diterima sejak pelancaran tabung kutipan 25 Mac lalu dan berakhir kelmarin.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan bukan sahaja untuk disalurkan kepada petugas barisan hadapan, malah individu yang terkesan dengan wabak terbabit khususnya dalam kalangan warga FELDA.

"Sumbangan wang tunai berjumlah RM118,569 ini akan diserahkan kepada Pengurusan FELDA dan pihak yang terkesan dengan wabak COVID-19 terutama warga FELDA dalam masa terdekat.

"Sebagai permulaan, FUFC akan menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM2,000 kepada 20 keluarga di FELDA Hutan Percha, Melaka yang ditimpa musibah ribut, baru-baru ini.

"Ia diharap meringankan beban mereka selepas rumah masing-masing mengalami kerosakan akibat kejadian itu," katanya.

Pada 25 Mac lalu, sebagai tanda prihatin, FUFC mengambil inisiatif melancarkan kutipan sumbangan yang turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan FELDA.

Antaranya Koperasi Permodalan FELDA (KPF), Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) dan Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF) yang turut menghulurkan sumbangan.

Inisiatif itu juga mendapat perhatian pengurusan FUFC, barisan kejurulatihan, pemain serta penaja FUFC yang turut menghulurkan sumbangan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X