Jumaat, 15 Mei 2020 | 6:00pm
Dari kiri: Kylian Mbappe, Neymar, Eden Hazard, Luis Suarez dan Sergio Aguero.
Dari kiri: Kylian Mbappe, Neymar, Eden Hazard, Luis Suarez dan Sergio Aguero.

Messi senarai lima pemain terbaik dunia

BARCELONA: Lionel Messi boleh dianggap pemain terbaik dunia ketika ini dengan enam gelaran Ballon d'Or menjadi miliknya.

Hanya Cristiano Ronaldo yang mengumpul lima gelaran paling hampir untuk memintasnya.

Tetapi selain Ronaldo ada beberapa pemain kelas dunia yang mampu merampas takhta bintang Argentina dan Barcelona itu, dan tahun lalu Messi menamakan lima pemain berkenaan.

"Memang bagus ketika Cristiano Ronaldo ada di La Liga kerana ia menjadi lebih berprestij, walaupun sukar untuk melihat dia merangkul gelaran.

"Tetapi selain daripada dia dan saya, pemain-pemain terbaik di dunia adalah [Kylian] Mbappe, Neymar, [Eden] Hazard, [Luis] Suarez dan Kun [Sergio Aguero]."

Tiga dalam senarai berkenaan pernah bergandingan dengan Messi.

Neymar memenangi Liga Juara-Juara bersama Messi di Barcelona sebelum berpindah ke Paris Saint-Germain pada rekod perpindahan tertinggi dunia.

Pemain Brazil itu masih dianggap arkitek kelas dunia, tetapi prestasinya mula menurun sejak perpindahan itu.

PSG memenani Ligue 1 setiap musim sepanjang kehadiran Neymar, tetapi belum cukup kuat untuk menguasai Liga Juara-Juara.

Malah nama Neymar turut tercicir daripada senarai pendek Ballon d'Or musim lalu.

Rakan sepasukan Neymar di Paris Saint-Germain, Mbappe meniti landasan berbeza sejak namanya dipetik Messi.

Ketika karier Messi dan Ronaldo semakin menuju ke penghujung, Mbappe dilihat calon terbaik untuk menjadi pemain terbaik dunia.

Messi juga pernah bergandingan dengan Suarez di Barcelona sejak dia menyertai kelab Sepanyol itu dari Liverpool pada tahun 2014.

Kini pemain Uruguay itu berusia 33 tahun, dan seperti Messi, kariernya juga sudah sampai ke penghujung. Tidak dinafikan Suarez berkelas dunia di zaman kemuncaknya.

Penyerang Manchester City Aguero juga pernah menjadi rakan sepasukan Messi, tetapi bersama pasukan Argentina.

Aguero menyertai City dari Atletico Madrid pada tahun 2011 dan antara tonggak paling konsisten di kelab Inggeris itu.

Dia memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris pada tahun 2015,

Pemain terakhir dalam senarai Messi adalah Hazard, dan dia berada di kemuncak prestasinya ketika berpindah dari Chelsea ke Real Madrid.

Namun kecederaan menyaksikan prestasi pemain Belgium itu kurang memberangsangkan di mana dia hanya beraksi 15 kali untuk Real musim ini, dan menjaringkan satu gol. - AGENSI

Berita Harian X