Sabtu, 23 Mei 2020 | 7:38am
BEKAS jurulatih Inter Milan, Luigi Simoni.
BEKAS jurulatih Inter Milan, Luigi Simoni.

Ronaldo, Inter beri penghormatan buat Luigi Simoni

MILAN: Bekas jurulatih Inter Milan, Luigi Simoni yang mengemudi kelab itu meraih gelaran Piala UEFA pada 1998 ketika era bintang Brazil, Ronaldo, meninggal dunia di Pisa semalam pada usia 81 tahun.

"Hari ini, 22 Mei, dia meninggalkan kami. Bukan hanya sekadar tarikh, hari paling diingati Inter," kata Inter Milan dalam satu kenyataan.

Inter semalam mengingati ulang tahun ke-10 menang Liga Juara-Juara di bawah Jose Mourinho, bergelar pasukan Itali pertama menang tiga kejuaraan sekali gus.

Simoni memiliki karier selama empat dekad di 17 kelab Itali berbeza, tidak sembuh sepenuhnya selepas serangan strok hampir setahun lalu.

"Gigi Simoni bukan hanya sekadar jurulatih saya," kata Ronaldo di Instagram.

"Jika saya memikirkan mengenai dirinya hari ini, saya mengingatinya sebagai lelaki yang baik dan bijak yang tidak memberi arahan kepada anda untuk melakukan sesuatu, tetapi menerangkan kenapa perkara itu penting. Ia seperti seorang guru.

"Dia adalah konduktor, kami adalah orkestra." - AFP

Berita Harian X