Ahad, 24 Mei 2020 | 7:52am
PEMAIN Bayern Munich, Thomas Mueller mengawal bola ketika aksi menentang Eintracht Frankfurt.
PEMAIN Bayern Munich, Thomas Mueller mengawal bola ketika aksi menentang Eintracht Frankfurt.

Mueller tak sabar jumpa Dortmund

BERLIN: Penyerang Bayern Munich, Thomas Mueller menjangkakan akan ada aksi terbaik pada saingan tengah malam Selasa ini antara pasukan teratas liga, Borussia Dortmund yang akan menentukan perebutan gelaran musim ini.

Mueller menjaringkan gol ketika Bayern menang 5-2 mengatasi Eintracht Frankfurt awal pagi tadi manakala pasukan tangga kedua, Dortmund empat mata di belakang selepas menang 2-0 di Wolfsburg.

Tiket di gelanggang Dortmund, Signal Iduna Park biasanya akan habis dijual dengan 82,000 peminat akan mencipta suasana paling meriah bagi saingan itu.

Bagaimanapun ia akan kekal kosong untuk berdepan Bayern berikutan pandemik COVID-19.

"Kami tidak tahu bagaimana untuk menghadapi perlawanan ini tanpa penonton, tapi saya jangkakan kami, saya sendiri untuk bermain sebaik mungkin," kata Mueller kepada Sky selepas menewaskan Frankfurt.

"Sudah tentu kami suka jika ada peminat di sana.

"Tiada ada yang lebih cantik daripada bermain perlawanan menentang Dortmund di Allianz Arena atau di Dortmund," katanya.

"Tapi itu kerja kami, dan kami akan menunjukkan bahawa walaupun tanpa penonton, kami tetap boleh bermain bola sepak dengan penuh keghairahan."

Bayern sedang mengejar kejuaraan liga Jerman kelapan berturut-turut. - AFP

Berita Harian X