Selasa, 2 Jun 2020 | 9:26am

16 pemain Vasco positif COVID-19

SAO PAULO: Kelab divisyen satu Brazil, Vasco da Gama mengumumkan bahawa 16 pemain mereka diuji positif COVID-19.

Kelab dari Rio de Janeiro itu menguji 350 pemain dan kakitangan termasuk jurulatih, kata pengarah kesihatan Vasco, Marcos Teixeira dalam video di saluran YouTube pasukan itu, semalam.

"Kami mendapati 16 atlet positif. Mereka diasingkan daripada kumpulan, mereka terus dipantau dan akan diuji sehingga kami yakin virus berkenaan tidak disebarkan kepada seluruh skuad," kata Teixeira.

Katanya, sekitar 30 peratus mereka yang diuji "sebelum itu ada kontak dengan novel coronavirus," termasuk tiga pemain.

Brazil merekodkan lebih daripada setengah juta kes dan lebih 29,000 kematian akibat COVID-19.

Vasco adalah satu daripada beberapa pasukan sudah kembali berlatih selepas dua bulan perintah berkurung walaupun hanya sedikit tanda menunjukkan pandemik itu semakin reda di Brazil.

Presiden Vasco, Alexandre Campello dan rakan di Flamengo, Rodolfo Landim mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dua minggu lalu bagi membincangkan usaha menyambung kembali bola sepak di negara berkenaan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X