Selasa, 2 Jun 2020 | 12:21pm
Raphael Honigstein (kiri) dan Jadon Sancho.
Raphael Honigstein (kiri) dan Jadon Sancho.

Syarat ketat hatrik Jerman

BERLIN: Jadon Sancho meledak tiga gol untuk Borussia Dortmund Ahad lalu - tetapi di Jerman ia belum boleh dianggap sebagai hatrik tulen.

Dalam kemenangan 6-1 ke atas Paderborn itu, penyerang England berkenaan memulakan permainan buat pertama kali sejak Bundesliga kembali dan beraksi cemerlang di babak kedua.

Sancho yang mengumpul 20 gol musim ini meledak ketiga-tiga gol itu dalam satu babak - salah satu kriteria untuk mendapat hatrik sempurna atau 'lupenreiner' di Jerman.

Bagaimanapun ia tidak memenuhi syarat di mana ketiga-tiga gol perlu berturut-turut, tanpa pemain lain menjaringkan gol di antaranya.

Selepas jaringan pembukaan Thorgan Hazard, Sancho meledak dua kali pada minit ke-58 dan 74 sebelum gol ketiga dalam masa kecederaan.

Tetapi sebelum gol ketiga itu, Achraf Hakimi dan Marcel Schmelzer turut menemui sasaran untuk Dortmund.

Pemain 20 tahun yang menjadi sasaran Manchester United itu membawa pulang bola perlawanan tetapi jaringannya tidak dianggap sebagai hatrik sebenar - seperti yang berlaku kepada Erling Haaland pada Januari.

Pakar bola sepak Jerman Raphael Honigstein menjelaskan berkenaan hatrik atau lupenreiner di Jerman.

"Di Jerman, atas sebab tertentu, kami tidak menganggapnya sebagai hatrik sebenar.

"Ia perlu berlaku dalam satu babak, serta tidak boleh pemain lain menjaringkan gol di antaranya.

"Kami terlalu Jerman sehingga tidak menganggapnya sebagai hatrik.

"Haaland tidak peduli. Saya lihat dia pulang membawa bola perlawanan," kata Honigstein.

Dalam bola sepak Inggeris, hatrik sempurna yang hampir kepada lupenreiner adalah - jaringan dengan kaki kanan, kaki kiri dan tandukan dalam satu perlawanan. - AGENSI

Berita Harian X