Selasa, 2 Jun 2020 | 8:06pm
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Owee Ah Chun
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Owee Ah Chun

KAFA ada masa hingga 30 Jun

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mempunyai masa tidak sampai sebulan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan mereka bagi mengelak hukuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan KAFA perlu memastikan tiada masalah pembayaran tunggakan gaji seperti dipersetujui antara pihak terbabit dan pemain atau pegawai pasukan sebelum 30 Jun ini.

Katanya, sekiranya KAFA melanggar perjanjian penyelesaian tunggakan termasuk gagal membuat pembayaran ansuran mengikut masa yang dipersetujui, tindakan seperti pemotongan mata akan dikenakan.

"Kelantan sebelum ini mengikut perjanjian yang dipersetujui bersama pemain dan Datuk Wan Rakemi Wan Zahari (bekas Pengarah Urusan Team The Red Warriors Sdn Bhd) pun ada melabur duit banyak, tapi bila masuk COVID-19 sudah mula timbul isu (pembayaran tunggakan gaji).

"Kita kena rujuk kepada kes lama yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM yang mana KAFA sudah pun mengemukakan pelan bayaran yang dipersetujui mereka, pemain dan pegawai.

"Tarikh sebenar adalah April lalu, tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita lanjutkan ke 30 Jun dan jika pembayaran bulanan tidak dilakukan mengikut persetujuan, perkara itu akan pergi ke Jawatankuasa Pelesenan dan mereka akan buat keputusan mengenai perkara ini." katanya kepada BH Sukan.

Untuk rekod, PDRM sebelum ini dikenakan pemotongan tiga mata selepas gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji mengikut tarikh yang ditetapkan oleh FAM. Melaka United turut menerima nasib sama pada Mac lalu apabila gagal membuat pembayaran ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual sudah dipersetujui.

Kelantan kini berdepan tekanan paling memuncak selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah mengarahkan persatuan itu menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji dua bekas pemain importnya, Cassio Francisco de Jesus dan Bruno Lopez yang berjumlah lebih RM700,000.

Malah, beberapa bekas pemain Kelantan termasuk Mohd Badhri Radzi atau Piya sebelum ini dilaporkan mendakwa KAFA gagal membuat pembayaran ansuran tunggakannya mengikut jadual yang dipersetujui.

Selain itu, Stuart menjelaskan pihaknya lebih fokus kepada isu tunggakan gaji pemain tempatan dan tidak akan mengambil kira kes pemain import yang sudah membuat laporan kepada FIFA.

"Kes pemain import, FIFA yang akan ambil tindakan dan dalam undang-undang kita tak boleh hukum dua kali atas satu kesalahan yang sama. Jadi bila kes itu sudah ke FIFA, kita biarkan dalam tangan FIFA dan kita akan ambil tindakan terhadap kes yang tiada di dalam FIFA," katanya.

Berita Harian X