Rabu, 3 Jun 2020 | 7:39am
PERTAHANAN Everton, Yerry Mina.
PERTAHANAN Everton, Yerry Mina.

Mina kena sambung 'rehat'

LONDON: Pertahanan Everton Yerry Mina bakal terlepas aksi Liga Perdana Inggeris yang kembali bersambung bulan ini selepas otot pahanya koyak.

Mina, 25, mengutip kecederaan itu dalam latihan minggu lalu dan imbasan mengesahkan bek tengah Colombia itu terpaksa direhatkan beberapa minggu.

Liga Perdana dijangka bersambung pada 17 Jun selepas ditangguhkan sejak Mac akibat pandemik COVID-19.

"Everton FC mengesahkan Yerry Mina akan direhatkan beberapa minggu selepas mengalami kecederaan otot.

"Imbasan mengesahkan pemain Colombia itu mengalami kekoyakan di otot paha kirinya ketika berlatih minggu lalu.

"Pemain 25 tahun itu kini di peringkat awal pemulihan di bawah pemantauan pegawai perubatan kelab dan menunjukkan kemajuan," kata kelab itu.

Kempen sulung Mina bersama Everton musim lalu juga dibelenggu kecederaan selepas dia berpindah dari Barcelona.

Kecederaan Mina itu hadir hanya beberapa hari selepas pemain tengah Everton Jean-Philippe Gbamin berdepan kecederaan Achilles yang serius.

Gbamin akan menjalani pembedahan minggu ini dan kelab menjangkakan pemain Ivory Coast itu bakal mengharungi tempoh pemulihan agak lama.

Everton akan berdepan pendahulu liga Liverpool pada perlawanan pertama mereka apabila saingan bersambung. - AFP

Berita Harian X