Rabu, 3 Jun 2020 | 10:38pm
Mesut Ozil. - Foto AFP
Mesut Ozil. - Foto AFP

Ozil bakal hilang RM118 juta

LONDON: Adidas dilaporkan akan menamatkan tajaan 22 juta pound (RM118 juta) ke atas Mesut Ozil hujung musim ini.

Ketika ini, pemain tengah Arsenal itu mempunyai kontrak bersama jenama pakaian sukan Jerman itu yang bakal tamat musim panas ini.

Namun berdasarkan laporan media, Adidas memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak berkenaan.

Sumber mendakwa, beberapa tindakan kontroversi Ozil menjadi antara faktor kontraknya tidak disambung.

Ini kerana sebelum ini dia pernah menolak panggilan beraksi bersama skuad kebangsaan pada 2018 sebagai tanda protes terhadap sikap perkauman FA Jerman.

Ozil mendakwa dia pernah 'dipulaukan' selepas bertemu dengan Presiden Turki, Recep Erdogan.

Pemain tengah itu juga pernah dituduh memberi sokongan kepada ahli politik berusia 65 tahun itu untuk melakukan pemilihan semula selain menjadi mangsa kepada rompakan, Julai lalu.

Terbaru, Ozil mencetuskan ketegangan dengan penyokong The Gunners apabila enggan memotong gaji sebanyak 12.5 peratus susulan krisis COVID-19.

Laporan media itu turut mendakwa Adidas mungkin menggunakan keputusan itu sebagai meringankan tekanan kewangan mereka.

Ozil mula menerima tajaan daripada syarikat itu sejak 2013.

Pemain berusia 31 tahun itu menerima bayaran gaji termahal di Arsenal dengan nilai 350,000 pound (RM1.8 juta) seminggu.

Ozil turut dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Utara London selepas hanya menjaringkan satu gol dan membantu dua jaringan bagi musim ini. - Agensi

Berita Harian X