Ahad, 2 Ogos 2020 | 2:25pm
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. - Foto NSTP
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. - Foto NSTP

'Susah persatuan belum profesional'

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menganggap masih banyak pengurusan pasukan yang belum mencapai tahap profesional walaupun Liga Malaysia (Liga M) sudah lama berstatus profesional.

Ia susulan isu tunggakan gaji yang masih membelenggu beberapa pasukan dengan terbaharu Kedah, dilaporkan berdepan bebanan hutang lapuk sebanyak RM10.6 juta.

Beliau berkata, sepatutnya tidak timbul lagi masalah membabitkan tunggakan gaji sekiranya semua pasukan sudah diuruskan secara profesional.

"Saya sudah cakap banyak kali, 'ukur baju di badan sendiri', tapi orang tak nak dengar. Masalah kalau kita ambil pemain mahal sebab nak piala dan ada yang kata bila pasukan asyik kena hentam (kalah), nanti peminat tak nak datang ke stadium, itu semua alasan yang tak boleh pakai.

"Pengurusan pasukan perlu jadi profesional, sebab itu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) nak tukar dari FA (persatuan bolasepak) kepada FC (kelab bola sepak).

"Kalau persatuan kebanyakan FA yang mana presiden atau EXCO dipilih oleh persatuan daerah, maknanya pengurusan masih amatur, tapi kita nak pemain profesional. Itu tak jadi.

"Kita ini sudah profesional, tapi pengurusan masih belum sampai tahap itu. Bila saya cakap mesti ramai yang akan marah, tapi saya cakap berdasarkan fakta.

"Kalau boleh kita nak habiskan cerita masalah tunggakan gaji dan sebagainya. Sudah berapa kali FAM bagi ingatan, malah FAM juga minta pasukan hantar bajet mereka," katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Jamal menjelaskan isu tunggakan gaji turut akan melemahkan pembangunan bola sepak negara dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa depan.

Malah, beliau mendedahkan ada pemain muda berbakat dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang sudah berputus asa untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak.

"Ada pemain skuad Presiden dan Belia yang jumpa saya kata tak dapat gaji dan sudah putus asa nak main bola. Jadi mereka terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan dan basuh kereta.

"Ia merugikan, kerana budak-budak ini ada potensi. Kalau bimbing mereka dengan baik, dia akan jadi bintang. Tapi masalah kita hadapi juga di Malaysia ini adalah tidak banyak syarikat mahu jadi penaja.

"Kalau perlu main dengan semua pemain tempatan, main saja. Bayar gaji mereka RM5,000 hingga RM15,000 sebulan. Tak perlu ikut nafsu besar, tapi akhirnya bergelut dengan hutang," katanya.

Berita Harian X