Sabtu, 29 Julai 2017 | 7:55pm
ATLET Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah ketika beraksi dalam acara Slalom Terbuka wanita, Kejohanan Waterski & Wakeboard Antarabangsa 2017 di Kompleks Sukan Air , Marina Putrajaya. - Foto Osman Adnan

Aaliyah Yoong dapat 'tonik'

PUTRAJAYA: Ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, percaya pengalaman 'berguru' di Florida, Amerika Syarikat (AS) kira-kira 6 minggu sebelum ini serta sentuhan dua lagi jurulatih menjadikannya lebih matang di pentas pertandingan.

Justeru, beliau yakin mampu mendapatkan lebih daripada dua pingat emas, sekali gus melebihi pencapaian peribadi dilakar di temasya Sukan SEA Singapura pada 2015.

Jelasnya, tonik tambahan itu diperoleh apabila berpeluang mendapat didikan daripada seorang jurulatih terbaik dunia iaitu Cory Pickos dari AS, yang memberi tumpuan dalam acara slalom dan jump.

Hasil didikan di luar negara menyaksikan atlet itu berjaya melakar rekod peribadi terbaik dalam acara jump daripada 20.20 mata ketika meraih pingat perak di Singapura 2015 kepada 32.1 mata.

Selain Pickos, Aaliyah turut mendapat didikan daripada Marian Malaquin dari Perancis yang datang ke negara ini selama 10 hari pada bulan lalu, serta tunjuk ajar daripada ketua jurulatih Sukan SEA, Larry Gisler dari Chile.

"Sasaran saya untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah dua pingat emas seperti di Singapura (tricks dan keseluruhan), insya-Allah.

"Tapi, saya yakin mampu raih lagi satu pingat emas, sama ada dalam acara slalom atau jump dan tidak mustahil saya mampu dapat emas bagi kedua-dua acara ini.

"Namun, macam-macam boleh terjadi dalam sesuatu kejohanan," kata Aaliyah ketika ditemui di Kejohanan Antarabangsa Ski Air dan Wakeboard 2017/ Pra-Sukan SEA di Kompleks Sukan Air Putrajaya, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pesaing yang bakal 'menghantuinya' di KL2017, Aaliyah berkata, beliau perlu berwaspada dengan kehadiran Nur Alimah Priambodo dari Indonesia dalam acara tricks.

Dalam acara slalom pula, Aaliyah melihat Sasha Christian dari Singapura dan Ummu Thoyibhatus Sholikah (Indonesia) sebagai pesaing hebat, manakala Rossi Amir (Indonesia) dalam acara jump.

Sukan SEA akan bermula pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Berita Harian X