Isnin, 14 Ogos 2017 | 6:28pm
MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Khairy berdepan kerabat diraja Brunei

KUALA LUMPUR: Perlawanan pembukaan acara polo ekuestrian Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Brunei di Taman Ekuestrian Putrajaya pada 22 Ogos ini, bakal menyaksikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berdepan dengan kerabat diraja Brunei.

Berdasarkan senarai pasukan yang mengambil bahagian, antara tujuh pemain yang disenaraikan dalam skuad polo Brunei, empat pemain adalah kerabat diraja Brunei iaitu Putera Abdul Mateen Bolkiah, 26; Puteri Azemah Ni'matul Bolkiah, 33; Pengiran Muda Bahar Bolkiah, 36; dan Pengiran Muda Abdul Qawi, 43.

Putera Abdul Mateen adalah barisan keenam pemegang takhta kesultanan Brunei, dikenali ramai sebagai aktif bersukan manakala kekandanya, Azemah Ni'matul antara dua pemain polo wanita bagi acara polo ekuestrian KL2017.

Bagi pasukan Malaysia, Khairy adalah menteri pertama di rantau ini yang mengambil bahagian dalam temasya dwitahunan itu, dan akan bermain bersama enam pemain utama polo Malaysia.

Mereka ialah Shaik Reismann Mohamed Ismail, Muhammad Faizal Abu Bakar, Abdul Rashid Hasnan, Amran Selamat, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman dan Mohd Zulhelmi Nadzar.

Pengurus pasukan Malaysia, Mohamad Zekri Ibrahim melahirkan rasa bangga kerana Khairy menyertai pasukan itu, tambahan pula menteri berkenaan adalah seorang pemain polo yang berpengalaman dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam permainan itu. - BERNAMA

Berita Harian X