Sabtu, 26 Ogos 2017 | 4:59pm
ATLET waterski dan wakeboard, Aaliyah Yoong Hanifah meriah pingat emas acara Overall ski air di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KL2017: Aaliyah pertahan emas Overall ski air

PUTRAJAYA: Peluncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, bersyukur dapat mempertahankan pingat emas, biarpun masih demam dan menahan sakit belakang ketika beraksi di final acara Overall ski air Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Tasik Putrajaya di sini, sebentar tadi.

Aaliyah muncul juara keseluruhan selepas mengumpul pungutan mata tertinggi selepas bertanding dalam tiga disiplin berbeza iaitu Slalom, Trick dan Jump.

Peluncur air berusia 14 itu muncul pemenang pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 2,678 mata dalam acara Slalom (803.03 mata); Trick (1,000 mata) dan Jump (875.86 mata).

Pingat perak dimenangi atlet Indonesia, Nur Alimah Priambodo dengan 1,874.41 mata manakala rakan senegaranya Rossi Amir, mengutip gangsa dengan 1,232 mata.


ATLET ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah bergambar dengan penyokong Malaysia selepas menang pingat emas Jump Terbuka Wanita pada Sukan SEA KL 2017 di Kompleks Sukan Air Putrajaya. - Foto BERNAMA

Aaliyah ketika ditemui berkata, beliau amat gembira dan berpuas hati kerana segala pengorbanan dan usahanya termasuk menahan sakit belakang dan mengalami demam, berbayar selepas berjaya menyumbangkan pingat emas pertama dalam acara ski air kepada rakyat Malaysia.

"Pingat emas ini amat bermakna bagi saya, bukan hanya kerana dapat mempertahankan pingat emas dimenangi di Sukan SEA Singapura 2015, tetapi juga kerana pelbagai dugaan dan tekanan yang saya dihadapi sebelum perlumbaan bermula sebelum ini.

"Saya amat gembira kerana masih mampu menang pingat emas biarpun terpaksa menahan sakit belakang dan mendapatkan suntikan untuk meredakan demam panas yang dihadapi sejak beberapa hari lalu," katanya, sebentar tadi.


ATLET waterski dan wakeboard, Aaliyah Yoong Hanifah meriah pingat emas acara Overall ski air di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Dalam pada itu, Aaliyah berkata beliau juga berharap kemenangan itu dapat membantu meniupkan semangat kepada dirinya dan atlet ski air serta wakeboard Malaysia untuk terus mencipta kejayaan di Sukan SEA kali ini.

Aaliyah berkata, beliau juga akan berusaha untuk mempertahankan pingat emas acara Trick yang dimenanginya di Sukan SEA Singapura 2015.

"Saya juga akan melakukan yang terbaik untuk menang sekurang-kurangnya pingat perak dalam acara Jump di Sukan SEA kali ini," katanya.

Pengurus Pasukan Ski Air dan Wakeboard Malaysia, Ahmad Azuddin Arshad, berpuas hati dengan pencapaian Aaliyah yang menepati sasaran awal untuk menang emas acara Overall ski air wanita.


ATLET ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah beraksi dalam kategori Jump Terbuka Wanita akhir pada Sukan SEA KL 2017 di Kompleks Sukan Air Putrajaya. - Foto BERNAMA

"Kita memang sudah jangka Aaliyah akan dapat pertahankan pingat emas kerana dia sentiasa mendapat markah tinggi dalam disiplin Trick, manakala Jump dan Slalom pula di tempat kedua, sekali gus membolehkannya muncul juara keseluruhan.

"Kita bersyukur dia mampu meraih emas biarpun kita tahu dia masih demam dan mengalami sakit belakang," katanya.

Azuddin juga percaya Aaliyah mempunyai semangat yang kuat dan akan berjuang berhabis-habisan untuk menang pingat emas dalam acara Trick untuk Malaysia minggu depan.

"Saya berharap Aaliyah dapat berehat dan pulih sepenuhnya untuk bertanding dalam acara individu, Slalom, Trick dan Jump pada Isnin dan Selasa depan.

"Saya yakin Aaliyah mampu menang satu lagi pingat emas dalam acara kegemarannya iaitu Trick, selain boleh memberikan saingan sengit kepada Rossi Amir (dalam acara Jump) dan Sasha Siew Hoon Christian bagi acara Slalom," katanya.

Berita Harian X