Jumaat, 29 Jun 2018 | 12:55pm
AALIYAH Yoong Hanifah

Aaliyah sasar menang podium di Sepanyol bulan depan

PUTRAJAYA: Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah meletakkan sasaran untuk mendaki podium di Kejohanan Luncur Air Remaja Dunia 2018 anjuran Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Antarabangsa (IWWF) di Kompleks Waterski & Wakeboard Seseña, Toledo, 2 hingga 5 Ogos depan.

Berikutan itu, Aaliyah yang kini sedang giat berlatih di bawah kendalian bapanya sendiri Hanifah Yoong, akan turun beraksi dalam empat acara berbeza iaitu trick, slalom, jump dan keseluruhan (overall).

Bagaimanapun, Aaliyah menegaskan sasaran utamanya ialah untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa menerusi dua acara kegemarannya iaitu trick dan overall.

  "Justeru, Aaliyah akan melakukan yang terbaik untuk menang sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam acara trick dan overall, sekali gus memperbaiki kedudukan saya dalam ranking dunia IWWF.

  "Saya berharap dapat menaiki podium di kejohanan berkenaan untuk dijadikan azimat dan motivasi ke arah mencapai sasaran untuk muncul juara dunia dalam acara trick kategori wanita bawah 17 tahun (B-17) dan terbuka seawal 2020 nanti," katanya.

Tahun 2018 membuka sinar baru buat Aaliyah apabila disenaraikan sebagai atlet kedua terbaik acara tricks dan juga kelima keseluruhan dalam ranking dunia bawah 17 tahun.

Kejayaan itu menyaksikan buat julung kalinya atlet negara memperoleh kedudukan sedemikian dengan sebelum ini atlet yang berumur 14 tahun itu berada di ranking lima dunia dalam acara tricks dan tempat ke-12 keseluruhan.

Sebelum ini, media melaporkan selepas kejayaan menang tiga pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Aaliyah kini memasang impian untuk muncul juara dunia dalam acara trick kategori wanita 17 tahun ke bawah (B-17) dan terbuka seawal 2020 nanti.

Ketua jurulatih merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong, dalam satu kenyataannya berkata, beliau yakin Aaliyah mampu meraih kejayaan lebih besar dengan muncul juara dunia acara trick wanita dan terbuka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berita Harian X