Sabtu, 1 September 2018 | 9:41pm
JOKO Widodo - Foto AFP
JOKO Widodo - Foto AFP

Indonesia mahu bida Sukan Olimpik 2032

JAKARTA: Indonesia membuat perancangan mengejut untuk membida penganjuran Sukan Olimpik 2032 selepas kejayaan menganjurkan Sukan Asia 2018.

Presiden Joko Widodo mendedahkan hasrat Indonesia itu selepas berbincang dengan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach dan Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah.

Pengumuman itu dibuat pada hari terakhir Sukan Asia Jakarta Palembang yang berlangsung selama dua minggu yang menjadi acara sukan terbesar dalam sejarah Indonesia.

“Indonesia merancang untuk segera mendaftar sebagai calon tuan rumah Sukan Olimpik 2032,” kata Widodo.

“Berdasarkan pengalaman kami dalam menganjurkan Sukan Asia ke-18 ini, kami percaya mampu dan boleh menjadi tuan rumah bagi acara yang lebih besar,” katanya.

Bach, yang dijangka akan menghadiri upacara penutup, esok mengalu-alukan pengumuman itu dan berkata beliau kagum dengan perjalanan Sukan Asia kali ini.

“Saya boleh mengucapkan tahniah kepada presiden selepas kejayaan dalam Sukan Asia yang sangat mengagumkan,” kata Bach.

“Oleh itu, IOC sangat menghargai pencalonan Indonesia untuk Sukan Olimpik 2032.” - AFP

Berita Harian X