Sabtu, 9 March 2019 | 4:00pm
Atlet ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah. - Arkib NSTP

Aaliyah raih 2 perak ski remaja di Melbourne

KUALA LUMPUR: Atlet ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah beraksi cemerlang dengan meraih dua pingat perak di kejohanan remaja Moomba di Melbourne, Australia.

Menurut Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), peluncur berusia 15 tahun itu merangkul pingat perak dalam acara tricks dan acara keseluruhan di Sungai Yarra pada Khamis.

Aaliyah mengutip 7,230 mata dalam acara tricks, di belakang juara tricks dunia, Neilly Ross dari Kanada, yang memungut 8,790 mata manakala peluncur Chile, Josefa Gonzalez menduduki tempat ketiga dengan 4,880 mata.

Pingat perak itu juga bermakna Aaliyah menyamai pencapaiannya pada 2014 dan 2015, juga dalam acara tricks.

Sementara itu, dalam acara keseluruhan, Aaliyah mengumpul sejumlah 2,668.74 mata untuk merangkul pingat perak.

Pingat emas acara keseluruhan dimenangi juara dunia remaja Australia, Sade Ferguson dengan jumlah 2,677.73 mata manakala Layne Moroney dari Australia (1,742.00) di tempat ketiga.

“Saya sangat gembira dapat menyaingi juara junior dunia Sade dalam acara jump bagi keseluruhan memandangkan dia merupakan pilihan untuk gelaran junior dunia pada 2020. Ini menjadi pengukur yang saya sasarkan.

“Terlepas pingat emas dalam acara keseluruhan kepada Sade dalam hanya beberapa mata menunjukkan saya pasti mampu mencabar bagi gelaran junior dunia keseluruhan tahun depan,” kata Aaliyah, yang bersedia untuk menaiki podium pada Kejohanan Junior Dunia 2020.

Aaliyah akan berehat untuk memberi tumpuan kepada peperiksaan pada Mei dan akan kembali mengikuti latihan intensif selepas itu bagi persediaan acara utama pada Ogos, Kejohanan Ski Air Dunia di Putrajaya. - BERNAMA

Berita Harian X