Sabtu, 17 Ogos 2019 | 8:06pm
- Ihsan MHC
- Ihsan MHC
- Ihsan MHC

Skuad hoki negara kena belasah di Jepun

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara berdepan situasi memilukan apabila dibelasah oleh gergasi Asia, India 6-0 dalam aksi pertama Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Sejurus pulang daripada Jelajah Eropah, Rabu lalu, skuad kendalian Roelant Oltmans terus terbang ke Jepun sehari kemudiannya dengan membuat beberapa pertukaran pemain termasuk meninggalkan lima pemain senior.

Aksi di Jepun ini diadakan bagi menguji tahap persediaan venue pertandingan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.

Tanpa kehadiran tonggak pasukan seperti Razie Rahim, Fitri Saari dan Faizal Saari, Malaysia ketinggalan seawal minit keempat menerusi jaringan pukulan sudut penalti Varun Kumar.

India terus menjarakkan diri apabila Gursahibjit Singh menemui gawang gol pada minit ke-18 dan 56 serta Mandeep Singh (m-34 dan 47) sebelum Sunil Sowmarpet (m-60) melengkapkan kemenangan bergaya pasukan kelima dunia itu.

Malaysian Tigers seterusnya dijadualkan berdepan Jepun esok disusuli New Zealand sehari kemudiannya.

Skuad negara kini dalam persiapan bagi menghadapi kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 yang mana mereka bakal bertemu sama ada Jerman, Sepanyol, New Zealand atau Kanada dalam aksi timbal balik pada Oktober depan.

1330 dibaca
Berita Harian X