Isnin, 19 Ogos 2019 | 5:21pm
ROELANT Oltmans

Oltmans gembira prestasi Malaysian Tigers biarpun tewas

KUALA LUMPUR: Sekalipun tumpas 3-1 kepada tuan rumah Jepun semalam, namun ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans tetap gembira dengan peningkatan persembahan diperagakan anak buahnya dalam aksi kedua Kejohanan Ujian Sukan Olimpik itu.

Katanya, aksi barisan pemain muda taruhannya kali ini sediki meningkat berbanding perlawanan pembukaan di Tokyo itu yang menyaksikan skuad The Malaysian Tigers dilanyak India 6-0.

"Ia adalah perlawanan ke-11 kami sejak Siri Jelajah Eropah yang mana kami banyak beraksi dengan 15 pemain sahaja.

"Berbanding pertemuan dengan India, saya gembira apabila pemain menunjukkan satu persembahan yang lebih baik dalam aksi semalam," katanya seperti dipetik menerusi laman sesawanag Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Bagaimanapun, jurulatih dari Belanda itu tidak menafikan masalah kehilangan fokus pada suku terakhir permainan sebagai punca pasukannya tewas kepada skuad negara Matahari Terbit itu.

“Pemain beraksi baik pada tiga suku pertama permainan, namun mereka gagal mengekalkan corak permainan yang sama pada suku keempat dan mula melakukan kesilapan," kata Oltmans.

Malaysia seterusnya akan melengkapkan jadual pusingan round robin dengan menentang pasukan kelapan dunia, New Zealand, esok yang mana sudah tidak membawa sebarang makna.

Hanya dua pasukan terbaik mara ke final ketika pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan berentap bagi menentukan pemenang tempat ketiga.

Pujian begitupun perlu diberikan kepada Oltmans kerana membuat perjudian besar dengan menurunkan barisan kedua dalam saingan yang diadakan bagi menguji venue Sukan Olimpik.

536 dibaca
Berita Harian X