Khamis, 19 March 2020 | 8:27am
Olimpik Tokyo 2020 dijadual berlangsung bermula 24 Julai hingga 9 Ogos. - Foto AFP
Olimpik Tokyo 2020 dijadual berlangsung bermula 24 Julai hingga 9 Ogos. - Foto AFP

COVID-19: IOC digesa batal Olimpik Tokyo 2020

LONDON: Juara Olimpik empat kali dalam acara mendayung, Matthew Pinsent menggesa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibatalkan dengan menyifatkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai ‘pekak’ apabila tetap mahu meneruskan temasya itu biarpun penularan jangkitan COVID-19 semakin serius.

Kenyataan Pinsent itu hadir susulan kebimbangan yang disuarakan atlet dan bekas atlet yang mana pendekatan diambil IOC ketika ini tidak sesuai dengan krisis global yang sedang melanda seluruh dunia.

“Saya minta maaf Mr Bach, tetapi tindakan ini seperti orang pekak,” kata bekas atlet dari Britain itu menerusi ciapan di Twitter miliknya.

“Perasaan untuk kekal selamat tidak sesuai dengan atlet yang perlu menjalani latihan, menyertai kejohanan dan memerlukan fokus yang tinggi bagi melakukan persiapan. Pastikan mereka selamat, batalkan saja (Olimpik Tokyo 2020).“

Pinsent, 49, memenangi pingat emas sebanyak empat kali berturut-turut pada temasya Olimpik 1992 hingga 2004.

Olimpik Tokyo 2020 dijadual berlangsung bermula 24 Julai hingga 9 Ogos.

Penularan COVID-19 yang semakin serius menyaksikan hampir semua acara sukan di seluruh dunia ditangguhkan sekali gus memberi kesan terhadap proses kelayakan ke Olimpik. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X