X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 1:52pm
MANTAN Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.
MANTAN Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Risau atlet, jurulatih tak mampu ikut SOP

KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menzahirkan kebimbangannya dengan 'tahap kemampuan' jurulatih dan atlet Road to Tokyo (RTT) dalam mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terhadap mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Jun ini.

Justeru, beliau mengingatkan atlet dan jurulatih supaya menghormati kebenaran dan kepercayaan diberikan kerajaan yang baginya satu keputusan begitu sukar dilaksanakan ketika negara masih dibelenggu pandemik COVID-19.

"Saya ucap tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kerana berusaha dapatkan kelulusan daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

"Beliau berusaha untuk atlet menerima kebenaran (menjalani latihan) dan bagi saya ia bukan mudah kerana keputusan sebegitu perlu dibuat dengan melihat daripada segenap sudut. Namun, kita boleh lihat yang kerajaan memandang penting terhadap Sukan Olimpik dan diberikan kebenaran.

"Kebimbangan saya adalah sejauh manakah atlet dan jurulatih itu pasti akan mengikut peraturan dan SOP itu sendiri?.

"Maksud saya ketika di luar pandangan ramai. (Sebagai contoh) badminton. Katakan saya berada di bahagian (gelanggang) sebelah sini dan seorang lagi di sebelah sana.

"Itu daripada pandangan kita, namun dalam latihan tidak begitu, mungkin ada dua atau tiga pemain dalam satu bahagian dan banyak lagi latihan yang tentunya tidak ada penjarakkan sosial.

"Perkara seperti ini boleh berlaku, jadi janganlah kepercayaan yang diberikan ini disia-siakan. Kena patuh. Saya juga ingin mengingatkan MSN dan ISN (Institut Sukan Negara) supaya pantau betul-betul.

"Walaupun ada SOP dan peraturan, mereka harus buat pemeriksaan, pastikan mereka mengikuti SOP ditetapkan apatah lagi situasi ketika ini bukanlah mudah. Jangan hanya kerana seorang atlet kena, semua kena nanti.

"Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah kerana selepas itu nasi sudah menjadi bubur. Jadi jangan longgar, pastikan semuanya berjalan dengan baik. Jangan sia-siakan kepercayaan diberi kerajaan, MKN dan KKM," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua atlet RTT dibenarkan kembali menjalani latihan dalam tempoh PKPB bermula 1 Jun ini.

Kelonggaran khas itu membabitkan 265 individu termasuk 57 atlet bagi persiapan dan sesi latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo.

Bagaimanapun, mereka semua perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan KBS termasuk menggunakan pendekatan kuarantin selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

Sesi latihan akan dijalankan di tiga kem latihan berpusat ditetapkan iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil membabitkan 181 individu; Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara (56 individu) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi (28 individu).

Berita Harian X